Penggunaan e-dompet meningkat 131 peratus pada 2020

LABUAN – Penggunaan e-dompet meningkat sebanyak 131 peratus kepada lebih 600 juta transaksi pada 2020 berbanding tahun sebelumnya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Paynett 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, peratusan rakyat Malaysia menggunakan wang tunai untuk pembayaran menurun 11 peratus kepada 78 peratus berbanding sebelum pandemik sebanyak 89 peratus.

Nanta berkata, ini menunjukkan digitalisasi pembayaran tanpa tunai telah mula diterima pakai dan dijangka menjadi budaya dalam kalangan rakyat pada masa akan datang.

“Untuk itu, kementerian telah menggerakkan susun kerja dalam memastikan agenda digitalisasi menjadi objektif utama sektor peruncitan dengan tumpuan kepada keperluan peniaga di peringkat mikro dan kecil agar dapat menerima serta mengguna pakai e-dompet.

“Pendekatan tanpa tunai ini memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil tambahan pula dengan situasi pandemik pada masa ini yang menggalakkan transaksi tanpa tunai,” katanya pada Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDi) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia adalah memastikan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima e-dagang selain memberi 500,000 peluang perniagaan dan sumbangan sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30 peratus iaitu bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun lepas.

“Negara di rantau Asia Tenggara kini berada pada puncak fasa revolusi kewangan dengan kira-kira 49 peratus daripada penduduk bandar telah mengaplikasikan perkhidmatan e-dompet dan jumlah ini diunjur mencecah 84 peratus menjelang 2025,” katanya.

Nanta berkata, pelancaran ReDI bertujuan memastikan peniaga kecil tidak terus ketinggalan dalam arus perdana dan bersama-sama membabitkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.

“Menerusi pelaksanaan Program ReDI ini, kementerian mengadakan kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri dengan menyasarkan 100 peniaga (setiap PBT) menyertai program itu menjelang akhir 2025,” katanya.

Beliau berkata, jika ini dapat dilaksanakan, pihaknya yakin sasaran sebanyak 15,000 peniaga dalam kategori itu di seluruh negara akan menerima manfaat selain memberi pilihan kepada pengguna. – Bernama

Sumber