Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Malaysia (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, pemimpin termasuk ketua negara, ahli perniagaan, suami, isteri, ibu dan bapa perlu saling membantu ke arah kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, pemimpin ibarat ketua pegawai eksekutif negara perlu amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Bekerja di lapangan untuk membantu masyarakat bukan gimik atau menolong kerana mahukan sesuatu.
Apa sahaja yang kita lakukan di dunia yang sementara ini akan dipersembahkan kepada ALLAH SWT.
“Kita perlu banyak bersujud dan tunduk kepada ALLAH Maha Tinggi segala-galanya.
Sebagai pemimpin di organisasi mahupun keluarga dan usahawan, pastikan jangan tamak.
Jika kita sudah kaya, jangan bolot dan monopoli semua.
“Sekiranya kita mampu melakukan semua bisnes, keluarkanlah zakat, infak dan wakaf bagi membantu orang lain.
Kita boleh juga mengajar mereka berniaga agar membantu diri untuk kelangsungan hidup,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menekankan ekonomi sangat penting dalam masyarakat dengan mengambil contoh sahabat Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman bin Auf dan Saidina Usman bin Affan merupakan antara orang paling kaya pada zaman itu serta kekayaan mereka memberi sumbangan kepada pembangunan ummah.
“Kita perlu ada kerangka fikir untuk kaya dan mahu ke hadapan.
Ada orang terlalu susah, sehingga menyalahkan ALLAH.
“Saya teringat pesan ulama dari Mesir, Hassan al-Banna, kita mungkin sudah kaya dan ada wang banyak tetapi kita perlu buat bisnes lagi kerana tidak semua orang ada ilmu seperti kita.
Ada rezeki lebih, berinfak lebih.
“Dalam Surah At-Taghabun, ayat 17, ALLAH SWT berfirman: “Jika kamu meminjamkan kepada ALLAH dengan pinjaman yang baik, nescaya Dia melipatgandakan (balasan) dan mengampuni kamu.
Dan ALLAH Maha Mensyukuri dan Maha Menyantun.” Itu janji ALLAH, janji ditepati.”
Mastura berkata, pihak PPAS menyokong sepenuhnya program #QuranHour di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak tahun 2015 lagi dan sebanyak 104 cawangan perpustakaan serta 43 agensi di seluruh negeri akan menyertai World #QuranHour secara hibrid pada 26 April ini.