Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menyerahkan surat rasmi peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada YAB Perdana Menteri. Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025, dan sehingga tarikh tersebut, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan saya sehingga 16 Jun 2025.
Penyertaan saya dalam politik sejak awal berlandaskan hasrat untuk memupuk budaya politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa mandat tersebut kini perlu diserah kepada pemimpin lain yang dipilih oleh akar umbi parti untuk meneruskan agenda reformasi dalam kerajaan.
Selaras dengan amalan demokrasi matang di banyak negara, adalah menjadi kebiasaan bagi pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu dalam kerajaan. Saya menghormati prinsip ini dan yakin ia akan memperkukuh lagi struktur demokrasi negara.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Kementerian Ekonomi yang telah memberikan kerjasama dan dedikasi tinggi sepanjang saya menerajui kementerian ini. Sepanjang perkhidmatan saya, saya menyaksikan sendiri tahap profesionalisme dan komitmen penjawat awam yang telah banyak menyumbang dalam merangka dasar serta pelaksanaan program-program ekonomi negara.
Saya amat yakin bahawa pelbagai inisiatif dan reformasi yang telah dirintis akan terus diperkukuh dan diteruskan oleh pasukan sedia ada demi kepentingan rakyat dan negara.
Sebagai amanah terakhir saya, penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah berjaya dimuktamadkan dan kini menunggu masa untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen yang akan datang. RMK13 memberi penekanan terhadap pembaharuan menyeluruh dalam sektor pendidikan, termasuk beberapa langkah reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan. Saya berharap agar Jemaah Menteri akan mempertimbangkan untuk mengekalkan elemen-elemen reformasi tersebut walaupun saya tidak lagi berada dalam kerajaan.
Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, rakan media dan semua pihak yang pernah bekerjasama sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.
Perjalanan untuk memperkukuh struktur ekonomi negara dan mencapai status negara berpendapatan tinggi masih panjang. Justeru, kita perlu terus membuat keputusan berani dan berpandangan jauh, demi masa depan generasi akan datang.
RAFIZI RAMLI
28 Mei 2025