Lambang Sari, bangunan panggung Istana Budaya terpilih menjadi lokasi pelancaran Program Istana Budaya 2022 yang merupakan satu inisiatif supaya seluruh aktiviti seni persembahan pentas bagi tahun 2022 dapat dipergiatkan ujar YB. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Tambahan lagi, kelangsungan ekonomi industri mampu meningkat berikutan ruang-ruang pementasan di Istana Budaya dapat memberi peluang pekerjaan serta kepuasan berkarya kepada penggiat seni.
Pelbagai program yang menarik telah disusun dan dirancang dengan baik seperti dramatari, teater, muzikal dan anugerah untuk pengisian sepanjang program Istana Budaya 2022 berlangsung. Lima program terbitan Istana Budaya adalah “Konsert Lagu Rakyat”, “Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf”, “The Carnival of The Animals”, “Sulur & Nakasari”, “Ratu Kuning Langkasuka” dan Jula Juli Bintang Tujuh”.
Selain itu, “Konsert U.K Reunion 25 Tahun”, “Konsert Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab”, “5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA)”, “Thunder-Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022” serta tiga teater “Antara Tiga”, “Tanjong” dan “Teater Muzika Moyang Salleh” juga turut dipentaskan.
Buat julung-julung kalinya bagi program Istana Budaya 2022, Orkestra Tradisional Malaysia juga menganjurkan “Konsert Lagu Rakyat” selama dua hari pada 25 dan 26 Mac 2022 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya. Barisan penyanyi popular yang akan memeriahkan suasana program adalah Dato’ Zainal Abidin, Floor 88, Bunga, Roslan Madun, Azizul Haqim, Hazra Dollah, Jatt Aziz dan Mah Meri. Pakej harga tiket mula dijual bermula harga RM 88.00 sehingga RM 158.00
Bermulanya daripada tahun 2022 sehingga 2025, MOTAC telah meluluskan insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus untuk syarikat yang menganjurkan aktiviti yang meliputi kategori persembahan pentas dan kebudayaan ujar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia itu. YB. Dato’ Sri Hajah Nancy turut berharap insentif tersebut dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk bergiat aktif.
Hasil pendapatan jualan tiket bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM 130 ribu dan dijangka dapat meningkat pada tahun 2022 termasuk hasil sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan dan agensi kerajaan yang lain. Dengan itu, permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi tahun 2022 dan 2023 yang dipohon oleh penganjur masih diterima oleh pihak Istana Budaya sehingga kini mengikut kesesuaian program serta tarikh.