Pasya Kembali Dengan Single Baru “Aku Bukan Cinta”

Naib juara program realiti nyanyian popular, Mentor 7, Pasya kembali mewarnai industri muzik tanahair dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta. Lagu balada emosional ini menyentuh jiwa pendengar dan mengangkat realiti kehidupan, khususnya bagi mereka yang pernah mengalami luka dalam percintaan. Diterbitkan di bawah syarikat rakaman Seventeen Eleven Music, karya ini adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Ikhwan Fatanna.

Kehadiran Aku Bukan Cinta bukan sekadar menceritakan kisah putus cinta, tetapi juga simbol kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi membawa kebahagiaan. Pasya atau nama sebenar Faizul Ashraff Fauzi berkata lagu ini sangat dekat di hatinya kerana sarat dengan emosi dan makna. “Single Aku Bukan Cinta membawa kisah luka dalam sebuah hubungan apabila cinta tidak dihargai. Ia bukan sekadar lagu putus cinta, tetapi tentang keberanian melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi bahagia. Pertama kali saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya kuat dan liriknya dekat dengan realiti. Saya percaya ramai pendengar akan merasai ‘jiwa’ dalam lagu ini,” katanya.

Pasya turut berkongsi bahawa kerjasama dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh menjadi pengalaman berharga dalam pembikinan single ini. “Ikhwan memberikan sentuhan lirik yang puitis namun mudah difahami, manakala Wan Saleh mengangkat lagu ini dengan susunan muzik moden, segar dan penuh perasaan. Saya rasa sangat beruntung dapat belajar daripada mereka,” jelasnya. Dari sudut mesej, lagu ini membawa nilai keberanian dalam menerima hakikat bahawa sesuatu hubungan mungkin tidak lagi sehaluan. “Walaupun perit, kadang-kadang kita perlu lepaskan demi kebahagiaan diri sendiri dan orang yang kita sayang. Lagu ini adalah tentang keikhlasan dan doa agar orang yang pernah kita cintai tetap bahagia,” tambah Pasya.

Berkongsi pengalaman rakaman, Pasya mengakui cabaran utamanya adalah menyelami setiap bait lirik agar penyampaian vokal sampai dengan jujur kepada pendengar. Sebagai harapan, beliau meletakkan single ini sebagai langkah baharu yang lebih matang dalam perjalanan seninya. “Saya harap peminat dapat merasai kejujuran yang cuba saya sampaikan. Kalau lagu ini menjadi penguat semangat kepada mereka yang pernah terluka dalam percintaan, itu sudah cukup bermakna bagi saya. Aku Bukan Cinta adalah fasa baru yang lebih dewasa dalam kerjaya seni saya,” katanya.

Digarap dengan melodi indah, susunan muzik segar dan mesej yang kuat, Aku Bukan Cinta diyakini mampu mendapat tempat di hati pencinta muzik tanahair. Single ini kini boleh distrim di semua platform digital dan telah berada dalam senarai main stesen radio utama termasuk Era FM. Video muzik rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan https://youtu.be/wwDJrzYmWjE?si=WvT8lsZtGPPayc1A.