MONSTA, penerbit terkenal di sebalik kejayaan filem animasi seperti BoBoiBoy dan Mechamato, bersama Astro Shaw, telah melancarkan teaser rasmi untuk filem animasi terbaru mereka, Papa Zola The Movie. Teaser ini mencatat lebih 2 juta tontonan dalam tempoh 24 jam selepas pelancarannya, menandakan sambutan hangat daripada peminat.
Watak Papa Zola, yang mula dikenali melalui siri BoBoiBoy dan kemudian dalam siri Papa Pipi, telah menjadi fenomena di media sosial dengan gaya jenaka unik dan tagline ikonik “Kebenaran!”. Siri Papa Pipi sendiri telah melepasi 1 bilion tontonan di platform digital, menunjukkan populariti berterusan watak ini.
Papa Zola The Movie menjanjikan gabungan aksi, komedi, dan elemen kekeluargaan dalam naratif yang penuh mendebarkan. Filem ini dijadualkan untuk tayangan pada Disember 2025, bertepatan dengan musim cuti akhir tahun.
“Ini merupakan penampilan ketiga Papa Zola di layar perak selepas BoBoiBoy The Movie (2016) dan BoBoiBoy Movie 2 (2019), tetapi buat pertama kalinya beliau menjadi teraju utama,” kata Nizam Abd Razak, Pengarah Papa Zola The Movie. “Filem ini akan mengupas kisah asal-usul Papa Zola dan menampilkan elemen aksi, drama kekeluargaan serta pencerobohan makhluk asing satu hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.”
Filem ini turut menyertai gelombang kejayaan animasi tempatan yang semakin berkembang di bawah inisiatif #aniMY, serta disokong kuat oleh semangat #sapotlokal dalam kalangan penonton. Industri animasi Malaysia terus berkembang pesat, dan MONSTA kekal sebagai peneraju dengan menyampaikan karya bertaraf dunia yang berakar kepada nilai tempatan.
Papa Zola The Movie dijangka menjadi antara acara sinematik paling dinantikan tahun ini penuh dengan gelak tawa, aksi dan emosi. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Papa Zola The Movie bersama keluarga dan rakan-rakan di pawagam berhampiran anda mulai Disember ini!