P.Radhi melancarkan single terbaru berjudul “Gadis Chantek” karya Dato’ M.Nasir

P.Radhi telah mencuri perhatian ramai di TikTok dengan suara khasnya yang mengingatkan kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Kini, dia melangkah lebih jauh dengan melancarkan single terbaru berjudul “Gadis Chantek,” hasil karya terkenal Dato’ M.Nasir.

P.Radhi meluahkan rasa syukurnya, “Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kesempatan untuk menyanyikan lagu ciptaan Dato’ M.Nasir. Pada mulanya, Dato’ M.Nasir merancang sebuah lagu ballad, tetapi selepas perbincangan, kami sepakat untuk mengubahnya kepada lagu yang lebih rancak dan dinamik.”

Lagu “Gadis Chantek” menggabungkan rentak rancak dengan elemen moden klasik, menepati identiti P.Radhi. Cerita lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang sangat terpesona dengan keayuannya hingga membuatkan tidur malamnya terganggu kerana keinginan untuk memiliki gadis tersebut.

Dato’ M.Nasir memberikan pandangannya, “Kemunculan Radhi adalah sesuatu yang menyegarkan dalam industri muzik. Dia menunjukkan keberanian yang patut dipuji, dan jelas sekali dia adalah peminat setia P.Ramlee. Melalui lagu ini, dia berjaya mengungkapkan penghormatannya kepada lagenda tersebut. Walaupun saya penulis lagunya, ia adalah milik Radhi sepenuhnya. Saya berharap peminat muzik tanah air akan menerima lagu ini dengan hati terbuka. Tahniah kepada Radhi!”

P.Radhi menganggap kerjasama ini sebagai satu pengalaman yang tidak pernah dibayangkan. “Kerjasama dengan seorang lagenda seperti Dato’ M.Nasir adalah sesuatu yang sangat berharga. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Luncai Emas dan Dato’ M.Nasir atas peluang ini. Saya menerima segala yang diberikan dengan penuh rasa syukur,” kata P.Radhi.

Sebelum ini, P.Radhi telah merakam dua lagu ciptaan Dato’ M.Nasir, “Suatu Masa” dan “Tiara,” dengan versi uniknya sendiri pada tahun 2022.

Luncai Emas, sebagai label rakaman, memanfaatkan idea Dato’ M.Nasir untuk menerbitkan single baru “Gadis Chantek.” Mereka berharap lagu ini akan menambah koleksi lagu Moden Klasik ala ‘P.Ramlee’ di persada muzik tempatan.

“Gadis Chantek” kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan didapati di semua platform penstriman digital mulai 23 Ogos. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati karya terbaharu P.Radhi yang pasti akan memikat hati dan jiwa anda.