‘ONLY WITH YOU’ PUKAU HATI YANG KESEPIAN, ‘OST’ Drama Romantik Komedi Terbaharu Dulu Dollah Daebak

Aqmal Ramdan, seorang bintang muda yang mula dikenali melalui program realiti nyanyian “Terpaling Juara” di TV3, kini melangkah ke tahap yang lebih tinggi dengan pelancaran single solo pertamanya bersama Alternate Records, berjudul “Only With You.” Yang menarik, lagu ini juga dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama bersiri popular “Dulu Dollah Daebak,” yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam.

Only With You merupakan single solo pertama Aqmal bersama Alternate Records, selepas kejayaan single sebelumnya yang berjudul ‘Seindah Kasih’ yang mendapat sambutan baik di YouTube dan radio.  Aqmal yang merupakan penyanyi dan juga pelakon, teruja dengan buah tangan terbaharunya yang  bertemakan cinta dan diterbitkan oleh komposer dan penulis lirik popular, Omar K, yang bergenre pop serta mengandungi serba sedikit elemen retro atau 80-an.

Dengan suara merdunya, Aqmal berjaya menghidupkan setiap bait lagu dengan baik.  “Saya sangat excited dengan lagu ini! Ia betul-betul menepati citarasa saya,” ujar Aqmal dengan penuh semangat.  Lagu Only With You ini menceritakan tentang seorang jejaka yang terpesona dengan kecantikan seorang gadis, seakan-akan jatuh cinta pada pandangan pertama. Ia menggambarkan bagaimana cinta menjadi penawar kesepian dan melengkapkan kehidupan seseorang.

Menurut Aqmal lagi, lagu ini memenuhi citarasa beliau dan memberikan pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Proses rakaman yang berlangsung berjalan lancar,  ‘’Saya rasa sedikit mencabar kerana lagu ini agak laju beatnya, jadi saya kena pastikan mood saya sentiasa gembira dan ceria selalu supaya saya dapat menyanyikannya dengan baik. Ianya juga sesuatu yang baharu kalau dibandingkan dengan lagu saya yang sebelum ini. Tetapi dengan tunjuk ajar daripada Omar K sendiri, banyak ilmu baru yang saya dapat dan saya sangat berharap untuk dapat bekerjasama lagi bersama beliau di masa hadapan,” tambah Aqmal.

Harapan Aqmal, ‘’Terima kasih kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong karya-karya dari saya. Saya berharap semua orang dapat menerima lagu ini dengan hati yang terbuka dan dengarkan lagu Only With You ini sebab mungkin lagu ini sedikit sebanyak dapat bantu menceriakan mood atau hari anda’

Omar K berpendapat bahawa Aqmal Ramdan mempunyai keunikan ton suara yang sangat istimewa dan sesuai bagi lagu-lagu berentak sebegini, ‘’Aqmal ini seorang yang mempunyai alunan suara yang begitu merdu dan gemersik. Tona suara serak-serak basah beliau mampu membuat hati pendengar terbuai dengan keasyikan lagu ini.’’ Tambah Omar K, ‘’Aqmal sangat professional sewaktu rakaman dijalankan. Beliau sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan bersedia mengulangi mana-mana ‘take’ rakaman tanpa sebarang masalah, serta mampu mengekalkan persembahan vokal yang mantap sehingga ke akhir sesi.’’

Ketika pembikinan proses bagi lagu Only With You ini juga, Omar K berkongsi tentang mesej yang ingin disampaikan. Katanya, ‘’Cinta ini menyerikan kehidupan dan melengkapi hidup setiap insan. Dunia pastinya akan menjadi lebih berwarna-warni dengan kewujudannya manakala tanpanya, ia hanya menjadi gelap dan sepi.’’

Harapan Omar K, “Saya berharap agar lagu Only With You ini dapat menonjolkan bakat Aqmal yang sebenar dalam karya muzik beliau sejurus dapat mengetengahkan perasaan nostalgia dalam bait-bait lagu ini. Saya juga yakin nyanyiannya ini akan menambat hati pendengar dan juga penonton drama romantik komedi terbaharu iaitu Dulu Dollah Daebak.’’

Jangan lepaskan peluang dan dengarkan lagu Only With You nyanyian Aqmal Ramdan yang telah mula berkumandang di aplikasi dan platform penstriman dalam talian. Ayuh saksikan kisah romantik komedi, Dulu Dollah Daebak arahan Eoon Shuhaini yang mengandingkan pelakon Sean Lee, Sharifah Rose, Riena Diana, Syazuwan Hassan dan ramai lagi menerusi slot Akasia bermula 8 Ogos 2024, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan strim 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau di laman web www.tonton.com.my.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.