
Industri muzik tempatan bakal menyaksikan lembaran baharu menerusi penganjuran sulung NU FEST 2027 di venue bersejarah, Stadium Merdeka, pada 30 Januari 2027.
Dianjurkan oleh COMs. Creative Studio bersama AKE Seni, acara ini mengangkat tema “Music, Culture & Community” yang menyatukan persembahan muzik, seni kreatif serta gaya hidup generasi muda dalam satu ekosistem interaktif.
Lebih daripada sekadar konsert, NU FEST 2027 dirangka sebagai destinasi festival menyeluruh. Pengunjung digalakkan hadir awal untuk meneroka zon makanan, karnival santai, pasar kreatif dan pengaktifan jenama sebelum tirai persembahan bermula. Menurut wakil penganjur, En. Zairul Addry Helmy, festival ini bermatlamat mewujudkan ruang komuniti untuk anak muda berkumpul, bertukar idea dan berkongsi pengalaman bermakna. Langkah ini diharap dapat menyuntik kesegaran dalam landskap hiburan tempatan agar setanding dengan festival antarabangsa.
Pentas utama bakal menyaksikan gabungan artis rentas genre dan generasi. Fasa 1 membariskan kumpulan rock bertenaga Indonesia, The Changcuters, di samping bakat segar Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja, Monosterio serta kemunculan istimewa Band D_Va. Kemeriahan memuncak menerusi Fasa 2 yang menampilkan persembahan 90 minit daripada kumpulan popular Indonesia, Nidji, selain ikon retro tempatan kegemaran Gen Z, Masdo. Suasana festival turut dimeriahkan oleh komuniti DJ tanah air, Beats & Brew. Gandingan mantap ini pastinya menjanjikan persembahan luar biasa yang bakal mencetuskan fenomena tersendiri di pentas konsert.
Penganjur turut menitikberatkan kualiti produksi bertaraf antarabangsa, merangkumi visual canggih, sistem bunyi mantap dan keselesaan pengunjung. Berhasrat menjadi acara tahunan yang menyokong usahawan serta bakat muda, tiket NU FEST 2027 ditawarkan serendah RM88 dengan pilihan pembelian berkumpulan, bermula dengan zon berdiri sebelum jualan tempat duduk dibuka kelak.











