Sambutan Aidilfitri kali ini bakal lebih meriah dan bermakna apabila Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menghadiahkan konsert Hari Raya percuma buat rakyat Malaysia! Bertempat di Summit USJ pada 26 April 2025, KONSERT EH RAYA 2025 bakal berlangsung seharian penuh dari jam 9 pagi hingga 9 malam, membawa semangat Hari Raya dalam bentuk hiburan yang sarat dengan elemen warisan dan kebudayaan.
Apa yang menarik, konsert ini bukan sekadar nyanyian biasa malah bakal menghidupkan kembali suasana rumah terbuka dengan lakonan, tarian dan muzik yang disusun secara teatrikal. Noraniza tampil sebagai “Che Ani” dalam persembahan utama yang turut menampilkan Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah, diiringi oleh pasukan penari berbakat dari akademinya, NIDA TARI. Lagu-lagu seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal pasti mengundang nostalgia kepada para penonton.
Bukan itu sahaja, ada banyak aktiviti menarik sepanjang hari, termasuk Bengkel Zapin dan Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif, serta pelbagai acara budaya lain seperti Rewang Raya dan perarakan makanan tradisi Bugis. Semua ini diadakan secara percuma, terbuka kepada semua peringkat umur, dan paling penting – penuh dengan nilai seni yang menghiburkan.
Lebih istimewa, pengunjung juga dapat menyaksikan pratonton eksklusif tarian warisan Negeri Selangor, sebahagian daripada usaha mempromosikan Tahun Melawat Selangor 2025. Noraniza sendiri membangunkan modul budaya ini melalui akademi miliknya.
Dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Tourism Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Tatihseni Malaysia, konsert ini bukan sahaja meraikan Hari Raya, tetapi juga menjadi pentas memartabatkan seni budaya tempatan dalam acuan moden.