LANGKAWI begitu sinonim dengan kisah legenda berpanjangan yang tersimpul rapi dalam sejarahnya.
Tanya sesiapa sahaja di pulau itu mengenai kisah tragik seorang wanita cantik bernama Mahsuri. Pasti anda akan mendengar sebuah kisah cinta, cemburu dan satu sumpahan yang telah dikenakan ke atas pulau tersebut olehnya selama tujuh keturunan.
Di luar pantainya terdampar gugusan 99 buah pulau yang memiliki pelbagai tarikan menarik. Pantainya cantik, kawasan paya bakau yang kaya dengan flora dan fauna serta kemudahan infrastruktur yang bertaraf dunia.
Paling menarik, anda dapat rasai pengalaman membeli-belah bebas cukai yang sangat murah!
Bila anda menjejakkan kaki ke pulau tercantik di dunia itu, pasti anda mencari-cari tempat penginapan yang selesa dan pasti meninggalkan seribu kenangan manis buat anda.
Apa kata anda menginap di Resorts World Langkawi. Resort berkenaan amat selesa dengan keindahan panorama yang pasti membuatkan anda berat hati untuk meninggalkan Langkawi.
Resort yang privasi dan landskap yang cantik
Hanya 25 minit dari Lapangan Terbang Langkawi anda akan tiba di resort berkenaan yang terletak betul-betul menghadap beberapa pulau.
Resort berkenaan berkonsepkan seni bina Mediterranean dan dihiasi dengan sinaran cahaya dari terbit hingga terbenam matahari. Pasti anda teruja!
Suasana amat tenang dan sesuai buat mereka yang mahukan privasi, tanpa sebarang gangguan hiruk pikuk kota dan kepulan asap kenderaan.
Menariknya, bila anda berjalan di sekitar resort, anda dapat menyaksikan landskap yang sangat indah termasuk kapal-kapal pelayaran antarabangsa yang berhenti berlabuh di situ.
Serius, suasana di situ bagaikan anda berada di luar negara. Mungkin di Itali!
Pilihan lima jenis bilik
Resort yang tampah mewah dan eksklusif itu mempunyai 211 bilik yang mana setiap blok bersambung antara satu sama lain.
Sebahagiannya menghadap laut nan biru manakala selebihnya berdepan taman permainan dan kolam renang.
Anda mempunyai lima bilik untuk dipilih sama ada Standard, Standard Seaview, Premier, Premier Seaview dan Signature Suite.
Bilik yang mengadap laut sentiasa menjadi rebutan. Manakan tidak, dengan hanya menolak daun pintu, anda mampu menyaksikan terbitnya fajar dan tenggelamnya matahari di ufuk timur.
Momen itu sangat indah untuk dikenang, pasti membibitkan rasa berbunga di hati anda.
Lebih-lebih lagi buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Buat mereka yang mahu bercuti bersama keluarga yang besar dan ramai, anda boleh memilih untuk bermalam di Signature Suite.
Suasana dan kemudahannya ibarat anda menginap di banglo mewah. Pasti menarik bukan?
Suasana mewah di Signature Suite pasti membuatkan anda begitu selesa. Bahkan dari tingkap bilik anda dapat merasai pemandangan laut yang tiada tolok bandingnya.
Ia dilengkapi kemudahan yang pelbagai seperti dua bilik tidur, bilik urut, bar mini dan gim mini.
Mandi di kolam infiniti air masin
Anda yang mempunyai anak-anak remaja yang sedang membesar pasti kepingin untuk mandi mandi di kolam yang disediakan.
Menariknya, kolam tersebut dibina secara melengkung, ia kelihatan seperti bersambung terus dengan lautan.
Struktur itu membuatkan anda seolah-olah sedang mandi dan berenang di tengah lautan.
Air masinnya bukan sahaja memberi manfaat kepada kulit anda, bahkan juga menawarkan pemandangan panorama cukup indah.
Sambil mandi manda, anda dapat menghayati keindahan Pulau Dayang Bunting yang menjadi legenda dan sejarah tersohor pada satu masa dahulu.
Rehatkan badan di spa bertaraf lima bintang
Bila bercuti, pasti anda seronok jika bahagian badan yang lenguh diurut lembut bagaikan sutera.
Jangan risau, Resorts World Langkawi turut menyediakan perkhidmatan spa yang bertaraf lima bintang.
Spa Taman Sari Royal Heritage menawarkan urutan tradisional seperti urutan Royal Javanese dan rawatan kecantikan Melayu.
Anda pasti mencubanya, ia mampu memberi ketenangan dan kesegaran pada badan dan minda anda yang letih.
Nikmati sajian enak dengan pemandangan indah
Seagull Coffeeehouse bukan sahaja menyajikan hidangan lazat menu tempatan dan antarabangsa sepanjang hari, ia juga menyajikan pemandangan Selat Melaka yang indah lagi menawan.
Di situ, anda boleh menikmati pelbagai sajian ala kampung yang enak seperti nasi goreng, gulai ikan, asam pedas dan sebagainya.
Restoran bercirikan halal itu beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 11 malam.
Bagi mereka yang inginkan suasana makan malam yang romantik dan ditemani cahaya lilin, boleh berdua-duaan di Zest Boardwalk.
Kedudukannya di laluan pejalan kaki dan menghadap Tasik Dayang Bunting.
Zest juga boleh diubah menjadi tempat makan malam buffet BBQ untuk majlis-majlis khas yang menawarkan makanan laut dan daging segar.
Nikmati Sunset cruise
Buat pasangan pengantin baru atau pasangan suami isteri yang sedang menyambut ulang tahun perkahwinan, anda wajib merasai pengalaman menaiki Sunset Cruise.
Dalam tempoh tiga jam, anda dan pasangan dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan juga kejernihan air laut dalam.
Pada masa sama, anda boleh menikmati jakuzi air masin dari atas cruise berkenaan. Rasailah sendiri keseronokannya!
Tambah menarik, anda dapat menyaksikan secara live terbenamnya matahari di tengah laut Selat Melaka. Menarik bukan?
Sambil itu, anda akan dihidangkan makanan barbeku dan salai serta minuman di atas kapal yang sama.
Bagi mereka yang sedang berbulan madu, pakej itu termasuk dengan tempahan bilik pada harga yang sangat mampu milik.
Kenangan yang sukar untuk dilupakan tatkala anda berada di atas Sunset Cruise, sambil menyaksikan matahari mula terbenam.
Buat anda yang inginkan cabaran, apa kata anda cuba aktiviti sukan air dan rekreasi seperti jet ski, menyelam skuba, snorkeling dan memancing laut dalam.
Pada masa sama, berpeluang mengikuti pengembaraan ke pulau-pulau berdekatan atau lawatan ke hutan paya bakau dan gua-gua.
Sebagai rekod, Pulau Langkawi dinobatkan sebagai Global Geopark UNESCO pada tahun 2001 atas pemeliharaan 550 juta tahun geologi dan sejarah.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut berkenaan harga dan pakej yang ditawarkan, anda boleh menghubungi pihak resort seperti yang tertera di bawah:
Resorts World Langkawi
Tanjung Malai, 07000 Langkawi
Kedah, Malaysia
Phone: (+6) 04- 955 5111
Website: www.rwlangkawi.com