Motosikal YAMAHA 135LC MRO Hadiah Cabutan Bertuah YEF 2023

Motosikal YAMAHA 135LC MRO Hadiah Cabutan Bertuah YEF 2023

Acara “Youth Empowerment Fair” 2023 (YEF 2023), yang akan dijalankan selama dua hari bermula esok (18 Mac) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, akan menyertakan sebuah motosikal Yamaha 135LC MRO bernilai lebih RM10,000 untuk hadirin bertuah.

Motosikal hebat itu ditawarkan dalam acara cabutan bertuah, yang diadakan bersempena dengan forum keusahawanan dan memperkasakan belia serta karnival kerjaya anjuran bersama Minds 4 Malaysia dan Yayasan Go Strong itu.

YEF 2023 akan diisi dengan sesi-sesi dialog and ceramah oleh tokoh-tokoh hebat termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol David; bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan tokoh belia, Encik Kamil Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

YEF 2023 akan turut disertai oleh tokoh-tokoh korporat seperti Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Puan Dzuleira Abu Bakar; dan Dato’ Bruce Lim, Pengasas dan Pengarah Urusan Technoriant Sdn Bhd. Para pengunjung akan turut mendapat tips mengenai karier dan peluang pengajian daripada Ketua Pegawai Sumber Manusia SP Setia, Puan Nadiah Tan Abdullah; Pengarah Sunway Education Group, Encik Danial Rahman; Ketua Integrasi Bisnes GENTARI, Encik Zaman Ahmad; dan pakar transformasi, Encik Aziph Mustapha, Ketua Budaya Transformasi dan Hubungan Kakitangan.

Program berkenaan akan turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis hebat seperti Dayang Nurfaizah, Sekumpulan Orang Gila, Ashikin M, Hael Husaini dan band rock terkenal, Bunkface.

YEF 2023 akan dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang akan turut menyampaikan ucaputama sebagai pembukaan kepada misi melakar masa depan belia negara, yang menjadi tema program berkenaan. Antara lain, ucaputama itu dijangka meliputi program dan perancangan gerakan ‘Selangor Youth Community’ (SAY) yang diasaskan oleh baginda.

Penganjuran YEF 2023 diharapkan dapat membuka perspektif baru dalam pembangunan nasional melalui pembangunan belia yang menepati keperluan masakini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang didokong oleh Kerajaan. Selain memberi peluang untuk Perdana Menteri dan wakil-wakil kerajaan berkongsi perancangan mereka dalam misi memperkasakan belia melalui segmen-segmen masing-masing khususnya bagi merealisasikan gagasan Malaysia MADANI.

YEF 2023 juga akan menjadi platform untuk golongan belia menyuarakan pandangan mereka; sekali gus memberikan pendekatan yang holistik dalam membina semula negara dengan golongan belia sebagai pemacu kepada reformasi ini.