Menutup Jurang dalam Penjagaan Asma; Hari Asma Sedunia 2022

Menutup Jurang dalam Penjagaan Asma; Hari Asma Sedunia 2022

Peringatan Hari Asma Sedunia diperingati pada 5 Mei setiap tahun sebagai bahan refleksi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai asma. Seperti yang kita tahu, penyakit asma ini tidak dapat disembuh, namun asma ini boleh dirawat.

Asthma Malaysia telah menganjurkan Persidangan Hari Asma Sedunia 2022 bertempat di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, Kuala Lumpur hari ini. Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, bertepatan dengan sambutan memperingati Hari Asma Sedunia tahun ini dan ia juga merupakan gabungan kerjasama antara Persatuan Thoracic Malaysia (MTS), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) dan AstraZeneca Malaysia.

Persidangan ini bertujuan membincangkan cabaran dan penyelesaian dalam menangani jurang dalam penjagaan asma di Malaysia sejajar dengan tema hari Asma Sedunia pada tahun ini iaitu Menutup Jurang dalam Penjagaan Asma

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Asma ini boleh menjadi penyakit yang mengancam nyawa jika tidak dirawat. Faktor juga adalah berbeza bagi setiap individu seperti jangkitan pernafasan dan selsema. Asma juga adalah sejenis penyakit jangka panjang. Sebahagian besar anak penderita asma ini memiliki gejala sebelum mereka mencecah usia lima tahun. 

Pakar penjagaan kesihatan, wakil pesakit dan rakan industri berkumpul untuk meneroka potensi menjadikan asma sebagai bidang keutamaan penyakit tidak berjangkit (NCD) utama di Malaysia.

Selain merasmikan pelancaran semula laman web rasmi Asthma Malaysia,  YB Khairy turut menyaksikan majlis menandatangani ikrar oleh pelbagai pihak bagi menyatakan komitmen bersama mereka dalam meningkatkan penjagaan asma di Malaysia. Berapa siri ceramah diadakan oleh pakar perubatan dan pesakit, dimana dapat disimpulkan bahawa terdapat keperluan campur tangan yang lebih besar terhadap penyakit asma di Malaysia ini bagi membendung penderitaan dan beban kewangan oleh pesakit akibat daripada asma mereka yang tidak dikawal dengan baik.

Antara cara mencegah dan mengendalikan asma daripada serangan asma adalah dengan mengambil ubat sebagaimana arahan doktor, elakkan terdedah kepada faktor pencetus seperti debu dan bulu haiwan. Selain itu, berhenti merokok dan juga menghindari asap rokok, pengambilan makanan pula perlulah mengikut keseimbangan dan akhir sekali elakkan penggunaan bahan kimia yang berbau kuat

Asthma Malaysia adalah sebuah pertubuhan yang bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk menjadi sumber yang boleh dipercayai tentang asma, untuk meningkatkan kesedaran terhadap piawaian penjagaan terbaik dan untuk memperkasakan pesakit dalam pengurusan asma mereka.

Asthma Malaysia berusaha untuk menjadi portal bagi penyakit asma yang terulung di Malaysia dengan harapan untuk memperkasakan pesakit dan menjadikan mereka lebih berpengatahuan. Kami berhasrat untuk memastikan penjagaan asma di Malaysia setanding dengan yang terbaik di dunia dengan harapan untuk mengurangkan penderitaan dan kematian yang dikaitkan dengannya.