Headlines

Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Raikan Keberkatan Ramadan Dalam Majlis Iftar Bersama Pelajar Tahfiz

Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB), dengan kerjasama Hop On Hop Off, menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Doa Selamat bersama kakitangan serta jemputan khas sempena bulan Ramadan. Majlis ini berlangsung di Menara Kuala Lumpur dengan matlamat merapatkan hubungan antara warga kerja dan rakan strategik, di samping menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), MKLSB turut meraikan pelajar dari Maahad Tahfiz Bustanul Quran, Kuala Lumpur yang diundang khas untuk menerima sumbangan bagi menyokong pembangunan dan pendidikan maahad. Selain itu, pengurusan MKLSB turut menyampaikan duit raya kepada para pelajar, menceriakan mereka menjelang Syawal.

Bagi memberikan pengalaman bermakna, para pelajar dibawa melawat ke tarikan utama Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Deck, Sky Box, dan Observation Deck. Lawatan ini membolehkan mereka menikmati keindahan panorama ibu kota dari ketinggian, mencipta kenangan manis yang sukar dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Encik Nazli bin Saad, dalam ucapannya menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga usaha merapatkan hubungan syarikat dengan masyarakat.

“Ramadan membawa keberkatan dan kasih sayang. Kami di Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berbesar hati berkongsi rezeki dengan pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran serta memberikan mereka pengalaman istimewa di Menara Kuala Lumpur. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dalam menuntut ilmu dan menceriakan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Majlis diserikan dengan bacaan doa selamat dan laungan azan oleh pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran. Tetamu kemudian menikmati hidangan berbuka puasa yang disediakan di TEMU Rasmi, menampilkan juadah istimewa ‘Dari Dapur TEMU’ yang akan berlangsung dari 5 hingga 28 Mac 2025.

MKLSB berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha menyemai nilai-nilai murni, memperkukuhkan hubungan sesama insan, serta menyebarkan lebih banyak kebaikan kepada masyarakat.