MELANGKAUI SEMPADAN TEMA ABPBH 32

MELANGKAUI SEMPADAN TEMA ABPBH 32

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2019 — Meneruskan rekod cemerlang sebagai acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) kembali dengan edisi ke-32 bertemakan ‘Melangkaui Sempadan’.

Tema baharu ini dipilih bagi mengiktiraf kejayaan artis tempatan mengangkat bakat dan kebolehan mereka bukan sahaja di Malaysia, malah merentasi benua.

Kali ini, ABPBH 32 bakal menyaksikan kepelbagaian dalam pengisiannya menerusi semua platform. Ia merangkumi kandungan digital dan bercetak, media sosial, siri jelajah, aktiviti santai bersama kelab peminat #FANtastik serta showcase istimewa yang dirancang sepanjang Julai, Ogos dan September depan.

Semua acara ini berteraskan falsafah ABPBH yang selama ini bertitik tolak kepada keupayaan individu baik artis mahu pun peminat, meningkatkan keupayaan diri, mencabar kreativiti dan memburu impian menjadi yang terbaik dalam setiap lapangan.

Tema ‘Melangkaui Sempadan’ ini juga sejajar dengan kematangan akhbar BH yang kini berpegang kepada slogan ‘Wadah Pembaharuan’ dalam menjadi sumber informasi dan rujukan rakyat Malaysia melalui kandungan mantap dan menarik.

Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 32, Khaidir A. Majid berkata, BH sentiasa komited dalam menambah baik pengisian ABPBH dan memastikan acara anugerah ini relevan dalam mengukur populariti penggiat seni.

“Bersesuaian dengan tema seni sejagat, ABPBH buat kali pertama memasukkan kategori artis antarabangsa iaitu Artis K-pop Popular dan Artis Indonesia Popular dalam senarai kategori utama.

“Langkah ini diambil bagi memantapkan kandungan ABPBH yang bukan sahaja menjadi acara anugerah hiburan yang ditonton peminat tempatan, malah disaksikan penduduk dunia melalui penstriman, sejak beberapa tahun lalu,” katanya pada majlis prapelancaran ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites di sini, malam ini.

Turut hadir Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32; Shamshul Azree Samshir, Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Datuk Alha. Alha Alfa menjadi Penaja Utama bagi ABPBH untuk dua tahun berturut-turut sejak 2018.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser, turut hadir bagi mewakili DuitNow yang menjadi Penaja Bersama ABPBH 32.

PayNet adalah pengendali DuitNow, perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima.

Khaidir berkata, semakin ramai artis tempatan melebarkan sayap di pentas antarabangsa membuktikan bakat dan keupayaan anak Malaysia diiktiraf peminat yang mungkin tidak tahu menahu mengenai budaya serta keunikan negara ini.

“Kami di BH, sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang seiring dengan slogan baru BH iaitu Wadah Pembaharuan,” katanya.

Selain dua kategori baharu, sebanyak 13 kategori utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.

Turut dipertandingkan Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular.

Selain itu, lima kategori online dipertandingkan iaitu Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Watak Antagonis Popular dan Lagu Paling Boom.

Selain trofi utama, Bintang Paling Popular, ABPBH juga memberi pengiktirafan kepada anak seni yang banyak menabur jasa kepada industri seni hiburan iaitu Anugerah Sepanjang Hayat yang akan diumumkan pada malam kemuncak.

Khaidir berkata, bagi menghangatkan ABPBH 32, dua siri jelajah bersama artis dan kelab peminat turut dirancang. Siri jelajah pertama akan berlangsung pada 3 Ogos 2019 di KOMTAR JBCC, Johor Bahru, disusuli pada 24 Ogos 2019 di Aman Sentral, Sungai Petani, Kedah.

Turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

Acara kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada hari Ahad, 22 September 2019.

Lokasi rasmi acara kemuncak ABPBH 32 turut ditaja oleh Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar televisyen rasmi, Kool FM dan Hot FM sebagai stesen radio rasmi dan TONTON sebagai platform digital rasmi.

Sementara itu, Datuk Ahmad Zaini berkata, rekod ABPBH tahun lalu membuktikan eratnya hubungan artis, peminat dan media.

“ABPBH 31 pada 7 Oktober tahun lalu merekodkan sejarah apabila lebih 24 juta undian diterima bagi 13 kategori utama dan lima kategori online yang dipertandingkan dalam tempoh undian selama sebulan,” katanya.

Jumlah tontonan bagi ABPBH 31 juga mencatatkan rekod tontonan tertinggi hampir enam juta secara menyeluruh sepanjang hampir tiga jam bersiaran, bermula jam 9 malam sehingga 12 malam.

Proses undian ABPBH 32 boleh dilakukan melalui laman web www.abpbh.com.my bermula 15 Julai sehingga 14 Ogos. Calon perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018.

Undian ABPBH 32 lebih menarik kerana peminat berpeluang  menggandakan undian melalui langganan BH Digital dengan membuat pembayaran  menggunakan sistem DuitNow.

                                                                        -Tamat-

Mengenai Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH)

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah ’People’s Choice’ yang terunggul anjuran BH yang diadakan setiap tahun bermula pada 1987. Ketika itu, ia dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Bertahan selama 32 tahun, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila ia diadakan setiap tahun. ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, di samping memberi peluang kepada pembaca dan pengikut setia BH untuk memilih artis popular serta menyertai malam kemuncak anugerah.

Penganjur menerima banyak pencalonan daripada semua syarikat rakaman, syarikat penerbitan filem, stesen TV dan radio untuk artis dan selebriti di bawah naungan mereka. Pencalonan terbuka kepada personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing untuk tempoh produk diterbitkan iaitu Januari 2018 hingga Disember 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *