Media perlu siar program ilmuan, World #QuranHour

SHAH ALAM – Semua media di negara ini perlu memainkan peranan dalam menyiarkan program ilmuan termasuk World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 13 April bersamaan 22 Ramadan.

Pengarah Bahagian Program TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdull Hadi Mohd Yusoff berkata, usaha itu dilihat dapat menarik minat generasi muda dalam mempelajari, mendalami dan mengamalkan kitab suci Al-Quran.

Katanya, rancangan televisyen yang ditayangkan kebiasaan lebih menarik perhatian anak-anak muda dan kesempatan itu harus diambil bagi membawa tarikan ayat-ayat suci al- Quran kepada mereka.

“Sudah tentu dalam mendepani cabaran pada masa akan datang, kita perlu memanfaatkan teknologi dalam usaha menyebarkan serta mengimarahkan lagi program ilmuwan seperti World #QuranHour terutamanya pada bulan Ramadan.

“Insya-ALLAH dengan kerjasama daripada semua pihak, ia dapat melahirkan generasi muda yang memahami dan menggunakan al- Quran untuk menjadi panduan hidup,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Tambah Abdull Hadi, tahun ini merupakan kali ketiga pihaknya menyiarkan program World #QuranHour iaitu pada 2018, 2020 dan 2023.

“Oleh itu, saya sangat berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi mengimarahkan bacaan al- Quran di seluruh dunia.

“Selaras slogan Malaysia Madani, saya yakin dan percaya apabila kita dapat hayati al-Quran maka kehidupan lebih teratur serta dapat merasai kehidupan dengan penuh hidayah,” ujarnya.

Sumber