Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, amalan membaca dan menghayati al-Quran merupakan perkara yang dituntut bagi melahirkan ummah yang sejati.
Katanya, pemilihan Surah Al-Kahfi itu membawa maksud tersirat yang sangat besar, malah golongan belia kini perlu sentiasa diingatkan betapa hebatnya pemuda yang dikisahkan dalam surah itu, yang memperjuangkan syariat Islam untuk dijadikan contoh.
“Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dan semangat, khususnya kepada pemuda-pemuda di negeri ini agar menjadikan al-Quran itu sebagai pegangan dalam hidup.
“Harap-harap Negeri Sembilan terus makmur dan maju serta mendapat keberkatan ALLAH SWT,” katanya.
Tambahnya, belia di negeri ini dinasihatkan supaya meluangkan masa hanya sejam sahaja, bagi sama-sama memeriahkan program #QuranHour yang akan berlangsung tidak lama lagi, di lokasi utama Kompleks Islam Tuanku Muhriz,Universiti Sains Islam Antarabangsa (USIM) bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 petang.
Pada tahun ini, Surah Al-Kahfi, surah ke 18 dipilih sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran, bersatu untuk membentuk ummah yang berbudi dan penyayang dalam menangani dan melahirkan solusi terhadap empat cabaran sejagat iaitu keyakinan, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan.
Gerakan #QuranHOur telah bermula pada tahun 2015 di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, program satu jam bersama al-Quran sebagai sebuah permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui al-Quran, Tadabbur, Tazakkur (QTT), mengambil nilai-nilai dari al-Quran sehingga lahir akhlak sebagai muslim sejati.