PANTAI Remis, Selangor sepanjang 1.8 kilometer yang biasanya sepi bertukar ‘hingar-bingar’ apabila ribuan pemancing hadir dari seluruh pelusuk negara bagi menyertai acara memancing sempena Tourism Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020.
Menariknya pada pertandingan itu dan seperti secara kebetulan, pemancing tuan rumah berjaya merangkul hadiah utama.
Pada siri pertama di Melaka, wakil tuan rumah, Mohamad Faizul Mohamad Ali muncul juara apabila menjinakkan ikan daun baru seberat 0.945 kilogram (kg).
Pada siri kedua pula yang berlangsung di Pantai Bisikan Bayu, Kelantan, Mat Dahab Ismail menewaskan lebih 1,500 peserta luar apabila menaikkan dengan ikan pari seberat 8.25 kilogram.
Di Pantai Remis pula, peserta dari Klang, Selangor, Mat Yasin Arbaaim pula ‘bermaharajalela’ apabila berjaya menangkap ikan belukang seberat 1.78kg sekali gus diumumkan sebagai pemenang utama.
Beliau menewaskan hampir 1,600 peserta lain termasuk Aznil Abu Bakar dari Terengganu yang menduduki tempat kedua dengan ikan belukang (1.28kg) dan Mohd Azli Abd Rahman (ikan belukang, 1.23kg) yang berpuas hati di tempat ketiga.
Para pemenang pertandingan memancing bergambar selepas majlis penyampaian hadiah di Pantai Remis baru-baru ini.
Menang RM70,000
Kemenangan Mat Yasin membuat beliau tersenyum puas apabila membawa pulang wang tunai RM70,000. Aznil pula menerima RM12,000 manakala Mohd Azli RM5,000. Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan (Domestik dan Acara) Tourism Malaysia, Mohd Nasir Kushairi; Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azman Dahalan dan Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.
Sebanyak 1,570 peserta dari seuruh negara mengambil bahagian pada pertandingan kali ini.
Acara yang sentiasa mendapat penyertaan hebat itu bagaimanapun akan berehat selama dua bulan bagi menghormati bulan Ramadan dan Syawal.
Siri seterusnya dijadualkan bertempat di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu pada 29 Jun depan. Seperti di Melaka dan Kelantan, ternyata pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 memberi limpahan pendapatan kepada peniaga tempatan khususnya peniaga kecil berasaskan makanan dan minuman.
Seorang peniaga teh ais dan jus mangga yang ditemui sejurus sebelum hon penamat dibunyikan memberitahu, beliau berjaya menjual 300 cawan air minuman dari pukul 9 pagi hingga 2.30 petang dengan anggaran pendapatan RM600 untuk setengah hari!
Malah, peniaga kekal di Pantai Remis turut mengambil kesempatan berniaga 24 jam berikutan ramai pemancing datang ke Pantai Remis pada waktu malam.
Turut memperoleh pendapatan berlipat ganda ialah penjaga tandas yang beroperasi 24 jam bagi memberi kemudahan kepada semua peserta, urus setia dan ribuan pengunjung.
Pertandingan itu mendapat kerjasama penuh MDKS yang menyediakan khemah, sistem pembesar suara dan bekalan elektrik.
Malah kehadiran pegawai penguat kuasa MDKS di lokasi pertandingan, banyak membantu melancarkan perjalanan program selain berjaya mengawal kejadian kecurian daripada berlaku.
Menurut Azman, pihak MDKS dalam perancangan menambah baik kemudahan di Pantai Remis khususnya bagi kemudahan pengunjung terutama kanak-kanak.
“Kita dalam perancangan untuk menaik taraf Pantai Remis. Pihak MDKS juga sudah melantik konsultan bagi memberi pandangan dan konsep bagi menaik taraf kemudahan di Pantai Remis,” katanya.
Juara keseluruhan Tourism Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 nanti bakal membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi.
Sementara, tempat kedua menerima Perodua Bezza manakala tempat ketiga akan memandu pulang Perodua Axia. Sebarang pertanyaan mengenai program, boleh berhubung dengan penganjur di talian 019-620 3040, 012-214 1401 dan 013-383 8655.