BULAN Rabiulawal sekali lagi bertandang dalam teratak kehidupan kita. Ia datang membawa makna yang besar khususnya dalam kehidupan Muslim yang mencintai manusia agung yang bernama Muhammad Abdullah.
Pada bulan ini lahirnya kekasih ALLAH iaitu Rasulullah SAW yang membawa rahmat kepada makhluk sekalian alam. Ini jelas melalui firman ALLAH SWT: “Tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam.” (al-Anbiya’, 107).
Sejauh manakah kita mengenali Rasulullah SAW? Bagaimana cara untuk kita menghayati perjuangan baginda? Apakah cukup dengan kita hanya mengingati tarikh 12 Rabiulawal sahaja? Mari kita mengenali siapa nabi kita yang mulia mudah-mudahan generasi kita akan sentiasa meletakkan baginda sebagai contoh ikutan terbaik.
Nama
Menurut al-Buti, nama penuh baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Farh bin Malik bin Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin Adnan.
Keturunan baginda daripada susur galur Nabi Ismail Ibrahim AS (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah). Berbangsa Quraisy daripada bani Hashim seperti sabdaan baginda: “Sesungguhnya ALLAH memuliakan Kinanah daripada anak Ismail, Dia memuliakan bangsa Quraisy daripada keturunan Kinanah, Dia memuliakan bani Hashim daripada bangsa Quraisy, kemudian Dia memuliakanku daripada bani Hashim” (HR Muslim).
Datuknya iaitu Abdul Mutalib yang memberikan nama Muhammad yang bermaksud ‘yang terpuji’ walaupun nama itu jarang digunakan oleh masyarakat Arab pada waktu itu.
Kelahiran
Kebanyakan sumber sirah menyatakan baginda lahir pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 570M. Namun al-Mubarakfuri menyatakan baginda lahir pada 9 Rabiulawal bersamaan 20 April 571M (al-Rahiq al-Makhtum) iaitu pada tahun pertama selepas peristiwa tentera bergajah yang dipimpin oleh Gabenor Yemen iaitu Abrahah.
Peristiwa ini dirakamkan oleh ALLAH SWT dengan jelas menerusi al-Quran (al-Fil, 1-5) yang membuktikan kesesatan tentera Abrahah itu sehingga membawa kepada kehancuran mereka. Justeru, pada tahun kelahiran baginda dikenali sebagai ‘am al-fil (tahun gajah) kerana kehancuran pasukan bergajah yang ingin meruntuhkan Kaabah yang mulia.
Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim kerana bapanya Abdullah Abdul Mutalib meninggal dunia di Madinah ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya, Aminah Wahab.
Ketika berusia 6 tahun ibunya membawa baginda menziarahi kubur bapanya, namun ibunya sakit ketika dalam perjalanan pulang lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu tempat yang terletak antara Makkah dengan Madinah.
Baginda menjadi yatim piatu ketika masih kecil, namun ALLAH menghadirkan manusia mulia dalam kehidupan baginda.
Keluarga
Meskipun Rasulullah SAW anak tunggal, namun baginda mempunyai ramai saudara susuan lantaran ramai orang yang menjaga dan mengasuh baginda sejak dari bayi.
Selain Aminah, ibu susuan baginda termasuklah Suwaibah dan Halimah al-Saa‘diyyah selain pernah dijaga oleh Ummu Aiman dan saudara susuannya iaitu Syaima’.
Saudara susuan baginda pula Abu Salamah Abdullah, Hamzah (yang juga bapa saudaranya), Abdullah dan Syaima’ (anak Halimah) dan Abu Sufian (yang juga sepupu baginda).
Menurut al-Jauzi, Hamzah Abdul Mutalib (bapa saudara baginda) bertemu saudara susuan bersama Rasulullah SAW daripada dua cabang yang sama iaitu Suwaibah dan Halimah al-Saa‘diyyah (Zad al-Ma‘ad).
Selepas kewafatan ibunya pada usia 6 tahun, tanggungjawab itu diambil alih oleh datuknya, Abdul Mutalib. Namun selepas dua tahun dalam jagaan datuknya, Abdul Mutalib meninggal dunia sehingga baginda dijaga pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib.
Gelaran
Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Jubair bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku mempunyai beberapa nama iaitu Muhammad, Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir dan al-‘Aqib” (al-Syama’il al-Muhammadiyyah).
Riwayat lain pula (Huzaifah RA) menyebut baginda juga digelar sebagai nabi al-Taubah, al-Rahmah, al-Muqaffa’ dan al-Malahim.
Selain itu, baginda sangat masyhur dengan gelaran al-Amin iaitu ‘seorang yang amanah’ kerana baginda sentiasa menjadi rujukan masyarakat Arab apabila mereka ingin keluar dari kota Makkah sama ada untuk pergi berniaga atau bermusafir.
ALLAH membenarkan sifat amanah Rasulullah SAW menerusi firman-Nya: “Sesungguhnya aku seorang Rasul yang amanah” (al-Syu‘ara’, 107).
Pekerjaan
Baginda bekerja sebagai penggembala kambing. Sememangnya menggembala kambing merupakan pekerjaan kebanyakan nabi dan rasul AS.
Ketika berusia 12 tahun, baginda turut serta dalam rombongan bersama bapa saudaranya Abu Talib ke Syam untuk berdagang. Baginda sentiasa membantu bapa saudaranya dalam urusan kehidupan dan pekerjaan.
Masyarakat Arab sejak zaman dahulu menjadi rutin perjalanan mereka ke Syam pada musim panas manakala ke Yemen pada musim sejuk seperti firman-Nya di dalam al-Quran (al-Quraisy, 1-2).
Perkahwinan
Isteri pertama Rasulullah SAW ialah Khadijah Khuwailid al-‘Asadiyah. Khadijah sebelum itu pernah berkahwin sebanyak dua kali dan mendapat anak daripada kedua-dua perkahwinan tersebut.
Khadijah mengenali baginda melalui Abu Talib sewaktu menguruskan hal-hal perniagaan, lalu Khadijah memeterai perjanjian perniagaan bersama baginda ke Syam.
Sepanjang perjalanan ke Syam, baginda ditemani oleh pembantu Maisarah iaitu pembantu Khadijah. Kejujuran yang ada dalam diri baginda menyebabkan Khadijah jatuh hati kepadanya sehingga membawa kepada perkahwinan. Ketika itu baginda berusia 25 tahun manakala Khadijah pula 40 tahun.
Melalui perkahwinan bersama Khadijah, mereka dikurniakan beberapa orang anak iaitu al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah.
Baginda mempunyai tujuh orang anak iaitu enam daripada Khadijah manakala seorang lagi iaitu Ibrahim daripada Mariah al-Qibtiyah yang merupakan hamba yang dinikahi baginda.
Baginda tidak pernah berkahwin dengan sesiapapun sehingga Khadijah meninggal dunia sebelum peristiwa Isra’ Mikraj pada tahun ke-10 kenabian (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah).
Isteri-isteri
Selepas kewafatan Khadijah, baginda berkahwin dengan beberapa orang iaitu (1) Saudah Zum‘ah, (2) Aishah Abu Bakar, (3) Hafsah Umar, (4) Zainab Khuzaimah, (5) Ummu Salamah Abu Umayyah, (6) Zainab Jahsy, (7) Juwairiyah Harith, (8) Ummu Habibah Abu Sufyan, (9) Safiyyah Huyai dan (10) Maimunah al-Harith (al-Misri, Sahabiyyat hawla al-Rasul).
Rasulullah SAW juga mempunyai isteri daripada kalangan hamba iaitu (1) Mariah al-Qibtiyah dan (2) Raihanah Sam‘un.
Kerasulan
Rasulullah SAW menyaksikan kehidupan masyarakat Jahiliah yang sesat dan syirik kepada ALLAH SWT. Mereka menyembah berhala, menenung nasib dan tiada pedoman agama.
Melihat keadaan ini, baginda selalu bersendirian di Gua Hira’. Setiap kali ke sana, baginda akan membawa bekalan makanan untuk tempoh beberapa hari. Berbanding dengan kota Makkah, baginda merasakan ketenangan bersama ALLAH SWT ketika beribadah di Gua Hira’.
Ia berterusan sehinggalah suatu hari ketika berada di gua tersebut, baginda terdengar suara yang menyeru untuk membaca (al-‘Alaq, 1-5). Itulah wahyu pertama yang diterima oleh baginda ketika berusia 40 tahun yang mengangkat kedudukan baginda kepada manusia yang mulia di sisi ALLAH SWT.
Bermula daripada itu, baginda mula berdakwah secara sembunyi kepada isteri dan ahli keluarga terdekat. Pada peringkat awal, dakwah baginda hanya diterima oleh golongan kanak-kanak, hamba dan orang fakir miskin.
Sahabat pertama yang memeluk Islam ialah Ali Abu Talib yang ketika itu berusia 10 tahun. Kemudian diikuti dengan sahabat yang lain seperti Zaid Harisah, Abu Bakar, Uthman Affan, Zubair Awwam dan ramai lagi.
Mereka pada waktu itu mengadakan pertemuan secara rahsia di rumah al-Arqam Abu al-Arqam selama tiga tahun.
Penurunan ayat yang menyuruh Rasulullah SAW berdakwah secara terang-terangan tanpa perlu menghiraukan tindakan golongan Musyrikin Makkah (al-Hijr, 94).
Bermulalah ujian dalam perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Mereka bukan sahaja dihalang, tetapi dipulau, dipukul, dicederakan dan ada yang dibunuh dengan zalim.
Penentangan daripada puak Musyrikin diketuai oleh Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan yang menentang dakwah baginda dengan pelbagai cara termasuklah dengan menawarkan wang, pangkat dan wanita. Namun, semua tawaran itu sedikit pun tidak mengubah pendirian baginda untuk terus berdakwah secara terang-terangan.
Hal ini mengundang kemarahan Musyrikin, lantas mereka menzalimi umat Islam sehingga ada yang dibunuh dengan kejam.
Selama 13 tahun dakwah Rasulullah SAW di Makkah dengan ujian yang berat bersama sahabat sehingga ALLAH SWT merakamkan keperitan mereka di dalam al-Quran (al-Baqarah, 214) sekali gus menjanjikan mereka kemenangan.
Hijrah
Selepas 13 tahun berdakwah di Makkah, kini sudah tiba perintah berhijrah. Rasulullah SAW telah melakukan beberapa kali siri hijrah ke Taif dan Habsyah, namun penerimaan masyarakat di sana sangat mengecewakan baginda.
Ada pun hijrah ke Madinah merupakan hijrah yang agung, bahkan dinanti-nantikan oleh sekalian sahabat RA. Ini adalah kerana menurut riwayat Aishah RA, umat Islam diseksa dengan berat sehingga mereka mengadu kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk berhijrah.
Rasulullah SAW keluar bersama Abu Bakar waktu malam pada 26 Safar menuju ke Gua Thur dan tinggal di sana selama tiga hari. Selepas keadaan reda, mereka memulakan perjalanan menuju ke Yathrib sehingga tiba di Quba’ dan mereka tinggal di sana selama empat hari. Pada 12 Rabiulawal, baginda tiba di Yathrib.
Antara perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setibanya di Yathrib ialah membina masjid, persaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar dan menukarkan nama Yathrib kepada al-Madinah al-Munawwarah.
Namun begitu, di Madinah baginda berhadapan pula dengan golongan Yahudi dan Nasrani yang enggan beriman dengan Rasulullah SAW.
Tidak berhenti di situ sahaja, bahkan orang golongan Munafiqin yang berwajah Islam di hadapan baginda dan mengaku beriman kepadanya (al-Baqarah, 8)
Peperangan
Rasulullah SAW menyertai banyak peperangan khususnya selepas hijrah, namun antara peperangan yang masyhur disertai baginda ialah perang Badar, perang Uhud, perang Ahzab, perang Khaibar, perang Hunain dan perang Tabuk.
Antara peristiwa penting dalam tempoh ini ialah pembukaan kota Makkah dan Haji al-Wada‘ yang berlaku dalam satu masa. Peristiwa ini berlaku kerana pengkhianatan kafir Quraisy terhadap perjanjian yang dimeterai bersama umat Islam iaitu umat Islam boleh menunaikan umrah pada tahun ke-7 hijrah. Lantaran serangan hendap yang dilakukan oleh puak kafir Quraisy, ia sekali gus membatalkan perjanjian tersebut.
Pada Ramadan tahun ke-8 hijrah, Rasulullah SAW mempersiapkan 10,000 tentera menuju ke kota Makkah dengan niat untuk menyerang. Jumlah tersebut membuatkan kafir Quraisy berasa takut lalu menyerah diri dan memeluk Islam.
Mereka termasuklah ahli keluarga baginda seperti Abu Sufyan, ‘Abbas Abdul Mutalib.
Rasulullah SAW dan tentera Islam akhirnya memasuki Masjid al-Haram dengan selamat tanpa pertumpahan darah. Baginda membacakan firman ALLAH SWT: “Wahai manusia! Kami ciptakan kamu dengan pelbagai bangsa dan puak supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain. Sesungguhnya orang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Luas Pengetahuan” (al-Hujurat, 13).
Kewafatan
Sekembali baginda daripada mengerjakan haji al-Wada‘ pada akhir bulan Safar tahun ke-11 hijrah, baginda mengadu sakit kepala. Walaupun begitu, baginda masih sempat mengimamkan solat berjemaah di masjid.
Kesakitan yang ditanggung oleh baginda membawa kepada demam yang berpanjangan. Pada Subuh Isnin bersamaan 12 Rabiulawal tahun ke-11H, baginda tidak lagi mampu berjemaah di masjid dan baginda meminta Abu Bakar untuk mengimamkan solat.
Rasulullah SAW meninggalkan kita semua buat selama-lamanya selepas 10 tahun tinggal di Madinah. Menurut Ibnu Abbas RA: “Rasulullah SAW tinggal di Makkah selama 13 tahun dan di Madinah selama 10 tahun, kemudian wafat ketika berumur 63 tahun” (HR Tirmizi, al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Kesimpulan
Rasulullah SAW sangat mencintai umatnya. Baginda tidak sanggup umatnya di azab, justeru baginda sentiasa memohon kepada ALLAH SWT agar dirahmati umat baginda.
Sebagai umat baginda, bagaimana perasaan kita terhadap baginda? Bukankah baginda sangat mencintai kita walaupun baginda tidak pernah melihat kita?
Marilah kita mengambil pengajaran dari bulan ini untuk kita benar-benar mengenali insan paling mulia ini. Jika kita boleh mengenali artis, atlet sukan dan tokoh selebriti tertentu tanpa apa-apa jaminan mereka untuk kita di akhirat nanti, maka ketahuilah bahawa Rasulullah SAW pemberi syafaat buat kita semua sebagai umatnya.
Mari kita banyakkan mengucapkan salam dan selawat ke atas junjungan besar kita Rasulullah SAW, manusia agong, kekasih Ilahi, pemberi syafaat. Rasulullah SAW Rahmatan lil ‘alamin.
* Fahimi Zakaria ialah Pensyarah di Management and Science University