Malam Prom Paling Dinanti: Melly Goeslaw Kembali Gegarkan Axiata Arena dengan ‘Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite’

Setelah dua konsert terdahulu mencetuskan fenomena luar biasa, Melly Goeslaw menunaikan janjinya kepada para ‘pelajar’ setia dengan melengkapkan trilogi konsert epik menerusi ‘Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite’, anjuran Icon Entertainment.

Bertempat di Axiata Arena, tepat jam 8.30 malam, laungan penuh emosi dan nostalgia bergema apabila Melly menyapa peminat yang pernah menghadiri siri pertama Back To School dan siri kedua Malam Graduasi. Kini, malam prom yang dinanti telah tiba bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah penutup sempurna penuh warna-warni untuk perjalanan memori yang tercipta.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan bahawa ‘Prom Nite’ bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah momen paling tuntas buat peminat Melly di Malaysia.

“Konsert ini bukan penamat, tetapi permulaan baharu yang membawa kita semua kembali ke lorong masa. Ia sebuah malam penghargaan kepada karya-karya Melly yang telah menjadi sebahagian daripada hidup kita.”

Dengan barisan lagu malar segar seperti Ku Bahagia, Jika, Sampai Kumenutup Mata, Gantung dan Cinta Sejati, Melly turut mengundang tetamu istimewa seperti Aina Abdul, Dhinda Ghania, dan pelakon ikonik Nicholas Saputra yang tampil dalam persembahan eksklusif Ada Apa Dengan Cinta arahan Rako Prijanto.

Pengarah muzik, Anto Hoed, memastikan setiap susunan lagu disampaikan dengan paduan orkestra dan string yang mewah, manakala aura pesta semakin membara dengan segmen “Party Time” menerusi lagu seperti Let’s Dance Together, Salah dan I Just Wanna Say.

Menurut Melly sendiri, “Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa yang manis, hanya satu perkara jangan terlepas malam ini. Kerana ia akan menjadi momen yang tidak akan kita lupakan.