Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif, Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi berkata, program keagamaan tersebut tidak diklasifikasikan sebagai idea baharu sebaliknya, merupakan majlis ilmu yang mengikut kehendak-NYA.
“Dalam surah Al-A’raaf ayat 204, ‘Dan apabila al-Quran itu dibacakan maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat’.
“Firman ini selari dengan matlamat dibawakan World #QuranHour kerana berdasarkan pengalaman menyertai program itu di Ipoh, Perak pada tahun lalu, situasinya para peserta akan berdiam dikala mendengar alunan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan seorang qari,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, walaupun program berkenaan hanya berlangsung selama satu jam namun aktiviti membaca kitab al-Quran secara berkumpulan itu membantu mendorong peserta tunduk, taat dan patuh terhadap apa yang diturunkan ALLAH SWT.
“Pada masa sama, peserta tidak pulang dengan ‘tangan kosong’ memandangkan selesai sesi bacaan, pentadabbur lazimnya akan memberi penjelasan dan mesej tersirat yang terkandung dalam surah berkenaan,” katanya.
Solusi segala masalah
Sehubungan itu, beliau menyarankan umat Islam supaya sentiasa mendalami, berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
“Ini kerana segala jawapan ataupun solusi bagi setiap persoalan semuanya terdapat dalam kitab ALLAH SWT tersebut.
“Al-Quran bukan sahaja untuk bacaan umat Islam malah bersifat universal kerana segala ilmu pengetahuan dan isi kandungannya boleh dijadikan rujukan, panduan dan petunjuk kepada orang bukan Islam dan mereka yang tidak beriman,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, al-Quran juga mempunyai beberapa nama lain seperti al-Huda yang bermaksud petunjuk bagi orang yang bertaqwa dan beriman.
“Selain al-Huda, al-Quran turut dikenali dengan nama al-Furqan (pemisah) yang menjelaskan mengenai perkara benar dan salah serta halal dan haram.
“Ini termasuklah, al-Syifa’ (pengubat jiwa) dan al-Mau’izah (nasihat) serta beberapa nama lain,” katanya.
Program World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bakal menghimpunkan umat Islam sedunia membaca al-Quran secara serentak selama satu jam pada 30 Mei bersamaan 25 Ramadan 1440H di Masjid Sultan Alam Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor bermula jam 11 pagi.
Tema World#QuranHour pada tahun ini adalah membawa misi surah al-Kahf yang mengandungi 110 ayat.