Bila janji kesetiaan mula tercabar, siapa yang wajar dipersalahkan? Drama bersiri terbaharu bertajuk Setia Itu Mahal, arahan Jamal Khan dan terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd, bakal mengisi slot Akasia TV3 bermula minggu hadapan. Sarat dengan konflik emosi dan dilema perhubungan, naskhah 28 episod ini mengangkat kisah wanita yang dihimpit pilihan antara rasa cinta yang belum padam dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Menggabungkan nama-nama besar seperti Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira, drama ini membawa penonton menelusuri jalan cerita yang penuh liku. Anna membawakan watak Dalina, seorang pereka fesyen berjaya yang kelihatan bahagia bersama suaminya, Dr Hakim (Zahiril Adzim) dan anak mereka, Alia. Namun ketenangan hidup Dalina mula terusik apabila cinta lamanya, Tengku Farid (Redza Rosli) kembali muncul secara tiba-tiba, membawa bersama kenangan lama yang sukar dilupakan.

Tengku Farid yang kini bergelar suami kepada Tengku Natasya, wanita berpengaruh dalam dunia korporat, masih menyimpan rasa terhadap Dalina. Pertemuan demi pertemuan yang tidak dirancang membuatkan Dalina dihantui semula oleh perasaan yang lama terkubur. Dalam masa yang sama, kesibukan suaminya membuatkan Dalina terasa seakan terpinggir, lalu membuka ruang kepada rasa ragu dan kekeliruan dalam dirinya.
Ketika anak mereka jatuh sakit dan Dr Hakim gagal dihubungi, Dalina terpaksa mendapatkan bantuan daripada Tengku Farid. Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula hubungan lama yang disangka sudah berakhir. Adakah perasaan itu akan menenggelamkan kesetiaan yang dibina bertahun lamanya?
Bagi Anna Jobling, Dalina adalah watak yang rumit namun realistik. Sebagai isteri dan ibu, dia penuh dengan kasih sayang, namun tidak terlepas daripada konflik dalaman yang meruntun jiwa. Menurut Anna, kekuatan Dalina bukan terletak pada kesempurnaan, tetapi pada kejujurannya berdepan perasaan yang tidak mudah dikawal. Dia bukan mangsa, sebaliknya wanita yang sedang mencari makna sebenar kesetiaan dalam situasi yang semakin merumitkan.
Setia Itu Mahal akan mula ditayangkan bermula 28 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3. Penonton juga boleh mengikuti episod baharu secara percuma di platform iQIYI bermula jam 8.00 malam. Bagi pengguna iQIYI VIP, siaran boleh diakses lebih awal secara ekspres. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun melalui App Store atau Google Play.