MAHER ZAIN KEMBALI MENYINARI PENTAS ASIA TENGGARA DENGAN KONSERT JELAJAH YANG DINANTI-NANTIKAN

Nama Maher Zain bukan lagi asing dalam kalangan peminat muzik rohaniah di seluruh dunia. Kini, selepas enam tahun penantian, penyanyi kelahiran Sweden berdarah Lubnan ini bakal kembali menyapa peminat Asia Tenggara menerusi Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, yang diumumkan secara rasmi di media sosial dan disahkan dalam sidang media bersama Yayasan Tengku Abdullah (YTA), penganjur rasmi jelajah ini. Kepulangannya kali ini membawa harapan dan semangat baharu buat para peminat yang setia menanti kehadiran semula bintang antarabangsa ini ke Malaysia dan Singapura.

Dikenali dengan lagu-lagu yang sarat mesej spiritual, harapan dan perpaduan, Maher Zain bakal membuat persembahan di tiga destinasi terpilih iaitu Kuala Lumpur pada 16 Ogos, Singapura pada 21 Ogos dan Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2025. Konsert ini menandakan penampilan sulung beliau di Kota Kinabalu serta kemunculan semula di Kuala Lumpur selepas pandemik COVID-19. Jelajah terdahulu beliau pada 2019 di Malaysia telah mencipta fenomena apabila tiket habis dijual dalam masa singkat di empat bandar utama.

Menurut Maher Zain, Malaysia memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kerjayanya sebagai penyanyi. “Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya—mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia. Hanya segelintir artis yang boleh menyatakan bahawa sesebuah negara telah memainkan peranan sebesar ini dalam membentuk permulaan kerjaya nyanyian mereka,” ujarnya ketika berinteraksi secara langsung dari Turki melalui Zoom bersama pihak media Malaysia.

Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain terus menjadi suara inspirasi buat generasi masa kini. Dalam konsert kali ini, peminat boleh menjangkakan alunan lagu ikonik seperti “Insha Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Thank You Allah” serta karya terbaharu beliau seperti “Qalbi Fil Madinah” dan “Rahmatun Lil’Alameen”, yang menyentuh jiwa dan menyampaikan mesej kedamaian sejagat.

Lebih daripada sekadar hiburan, konsert ini juga adalah wadah untuk menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang melalui kekuatan muzik. “Di YTA, kami percaya kepada kepentingan memupuk masyarakat yang menghargai seni, ekspresi positif dan nilai-nilai murni. Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas,” kata Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil Barisan Pengurusan Kanan Yayasan Tengku Abdullah.

Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu dipilih bagi memberi peluang kepada peminat di Semenanjung serta Malaysia Timur untuk bersama menyertai pengalaman istimewa ini, manakala Singapura turut tersenarai berikutan sambutan hebat yang diterima Maher Zain dalam persembahannya sebelum ini. Konsert di setiap lokasi dijangka mendapat sambutan hangat, sejajar dengan populariti Maher yang tidak pernah pudar di rantau ini.

Tiket konsert akan mula dijual kepada umum pada 13 Jun 2025 jam 12 tengah hari, manakala jualan tiket pra-daftar akan dibuka pada 12 Jun 2025 bermula jam 12 tengah hari hingga 11:59 malam. Harga tiket bermula dari RM158 untuk Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, serta SGD78 untuk konsert di Singapura. Lokasi-lokasi konsert adalah seperti berikut: 16 Ogos di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 21 Ogos di The Star Theatre Singapura, dan 23 Ogos di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

Penganjuran jelajah ini direalisasikan dengan kerjasama strategik pelbagai rakan media dan penaja. Rakan Radio rasmi terdiri daripada ERA FM, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR FM, ZAYAN FM dan SYOK, manakala rakan media digital termasuk Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah. Konsert ini dianjurkan secara rasmi oleh Hitman Solutions dan Happymoon, dengan kerjasama Awakening Music.

Maher Zain dan pihak penganjur menjangkakan kehadiran ribuan peminat termasuk keluarga, remaja serta penyokong setia yang telah membesar dengan lagu-lagu beliau yang sering mengiringi majlis perkahwinan, sambutan Aidilfitri dan saat-saat refleksi diri. “Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun kami kembali untuk anda,” kata Maher. “Mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan.”

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, sila hubungi info@maherzainseatour.com atau layari www.maherzainseatour.com.