SIAPA kata bahawa rawatan kuku kaki (pedicure) adalah hak milik mutlak golongan wanita?
Persepsi sedemikian harus ditepis kerana soal kecantikan, kebersihan dan kesihatan harus dititikberatkan baik wanita mahupun lelaki.
Buktinya, pada baru-baru ini Putera Harry dilaporkan menjalani rawatan kuku dan urutan kaki bernilai £ 50 (RM254.42) di spa yang beroperasi di Hotel Coworth Park, Ascot, United Kingdom (UK).
Duke of Sussex itu menjelaskan, rawatan tersebut dilakukan adalah untuk menjaga kecantikan dan kebersihan kakinya.
Memetik Yahoo! Lifestyle, Harry berusia 34 tahun dikatakan sentiasa menjalani rawatan kuku kaki sementara isteri beliau, Meghan, 38, mendapatkan rawatan kecantikan di spa yang sama.
“Rawatan pedicure ditawarkan di sini membantu memberi kelegaan pada bahagian kaki yang lesu menerusi sesi urutan lembut termasuk membuang sel kulit mati dan kutikel pada kuku jari kaki,” jelasnya.
Sehubungan itu, bagi golongan jejaka, indikasi penampilan bukan sahaja diukur dari segi pakaian, stail rambut atau pelengkap gaya, bahkan kebersihan kuku kaki juga wajar diberi perhatian.
Buat mereka yang tidak berkesempatan mengunjungi salon atas kekangan masa jangan bimbang, e-Trend kali ini berkongsi tip mencantikkan kuku kaki di rumah.
1) Potong kuku
Jangan biarkan kuku kaki panjang kerana ia akan menjadi tempat berkumpulnya kotoran yang boleh menyebabkan jangkitan dan kaki berbau.
Pastikan kuku kaki sentiasa dipotong pendek dan berada dalam keadaan kering dan bersih.
2) Rendam air suam
Isi air suam di dalam baldi atau besen yang dicampurkan bersama garam dan limau nipis. Petua tersebut membantu melegakan, sekali gus menghilangkan bau kaki.
3) Skrub
Selain wajah dan badan, kaki juga harus dilulur menggunakan skrub yang bersesuaian. Setiap kali mandi selepas pulang bekerja, beriadah atau melakukan aktiviti lasak pastikan anda menyental bahagian kaki bagi menanggalkan kotoran dan daki.
4) Krim pelembap
Sebelum tidur, amalkan menyapu krim pelembap kaki bagi mengekalkan kelembapan dan mengelakkan tumit merekah.