Legenda Rock Malaysia Menggegarkan Saloma KL

Legenda rock tanah air bakal menggegarkan Saloma Kuala Lumpur dengan satu persembahan khas yang dinanti-nantikan. Nama-nama besar seperti Ito Blues Gang, Jojet, Gersang, Yantzen, Rahmat Mega dan Azlan Typewriter bukan sahaja dikenali, malah dianggap sebagai ikon dalam industri muzik Malaysia. Mereka bukan sekadar terkenal kerana lagu-lagu mereka, tetapi juga kerana karakter, kemahiran teknikal dan impak yang dibawa dalam setiap persembahan mereka.

Ito, yang digelar “Bapa Blues Nusantara”, bukan sahaja seorang penyanyi rock biasa, tetapi juga dianggap institusi dalam muzik Blues di Malaysia. Beliau berjaya mempopularkan irama Blues dari Amerika, sambil menyuntik elemen tempatan ke dalam muziknya. Lagu-lagunya seperti “Apo Nak Dikato” dan “Mak Siti” terus menjadi malar segar dan dekat di hati peminat sehingga kini.

Jojet pula terkenal sebagai pemain dram yang diiktiraf legenda kerana peranannya sebagai tulang belakang kepada kumpulan-kumpulan besar seperti Gersang dan kemudian Wings. Gersang sendiri adalah kumpulan unik dalam sejarah rock tempatan kerana ahli-ahlinya masih muda ketika mereka mencapai kemuncak populariti, tetapi skil muzik mereka menunjukkan kematangan luar biasa. Lagu-lagu popular seperti “Masih Aku Terasa” dan “Suratan Takdir” menonjolkan susunan muzik yang indah dan teknikal, dan kumpulan ini turut melahirkan bakat-bakat besar seperti Man Bai, Kid dan Jojet sendiri.

Yantzen Juniwan dikenali sebagai “Ikon Heavy Metal Malaya” dan menjadi definisi sebenar “Mat Rock”. Lagu-lagu beliau seperti “Tiada Lagi Aku” dan “Insan” menuntut emosi yang mendalam bagi menyampaikan mesej dan intensiti muzik heavy metal. Rahmat Mega pula digelar “Raja Balada Rock” kerana suara beliau yang bersih tetapi mampu mencapai nota tinggi dengan sustain yang panjang. Lagu-lagu beliau seperti “Takdir dan Waktu” dan “Bayangan Gurauan” sering menjadi pilihan di pusat karaoke.

Azlan Typewriter pula dikenali sebagai penyambung legasi rock moden, menjadi jambatan antara era rock lama dan generasi baru. Teknik vokalnya yang unik menampilkan julat suara tinggi dan falsetto yang kuat, terutama melalui lagu-lagu popular seperti “Untuk Mu” dan “Jangan Khianati Aku”. Setiap artis ini mempunyai kelompok peminat tersendiri yang sentiasa memberi sokongan padu, dari dahulu hingga kini.

Penganjur, HS Event & Entertainment, akan menghimpunkan barisan “Dream Team” ini dalam satu showcase khas bertajuk Rock Legends Live At Saloma Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 20 Disember ini. Gabungan nama-nama legenda ini dijangka mencipta pengalaman muzik rock yang penuh nostalgia, ketika industri muzik kini didominasi oleh genre pop, galau dan indie. Persembahan ini mewakili spektrum lengkap muzik rock Malaysia dari era kegemilangan sebelum ini.

Menurut penganjur, Datin Seri Ismariza Che Umar dan rakan kongsi Mubarak Akhtar, nama-nama ini bukan sahaja sekadar artis, tetapi menjadi penanda aras zaman kegemilangan muzik Malaysia yang sukar diulangi. Lagu-lagu dan personaliti mereka yang hebat menjelaskan mengapa mereka masih relevan sehingga kini. Persembahan ini dijanjikan akan menghiburkan para penonton, malah dengan populariti lagu-lagu yang akan dipersembahkan, Saloma Kuala Lumpur dijangka berubah menjadi dewan karaoke terbesar pada malam itu.