Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Afnida Aini Alwi berkata, program yang digerakkan saban tahun dengan kerjasama Rumah Ngaji Terengganu itu merupakan kempen untuk membentuk solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.
Katanya, biarpun terpaksa mengehadkan jumlah peserta di lokasi program, program itu diteruskan dengan kerjasama kakitangan PPAT, agensi kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan serta turut melibatkan keluarga-keluarga di rumah.
“Tahun ini World #QuranHour diteruskan dengan menggunakan pendekatan berbeza memandangkan kita masih berada dalam tempoh PKP akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
“Jadi tahun ini World #QuranHour dijalankan secara atas talian dengan PPAT bertindak sebagai lokasi ‘hotspot’.
“Kita jangka lebih 20,000 yang menjayakan program pada tahun ini dengan mengambil kira peserta-peserta yang berada di rumah” katanya.
Beliau berkata, program tadabbur al-Quran ini dibuat serentak di seluruh negara bagi memartabatkan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dan memperkasakan iqra.
“Tahun ini surah Ar-Rahman telah dipilih untuk dibaca dengan tema Reboot Global Harmony.
“Tahun akan datang kita jangka akan dapat jumlah peserta yang lebih ramai bagi menjayakan program penghayatan al-Quran ini,” katanya.