Bersiap sedia untuk pengalaman festival muzik yang menggabungkan dua budaya serumpun dalam satu pentas! Hitman Solutions, penganjur konsert terkemuka Malaysia, berkolaborasi dengan Boss Creator dari Indonesia penganjur utama festival ikonik Pestapora telah mengumumkan barisan artis fasa pertama untuk Latihan Pestapora Malaysia, yang bakal berlangsung pada 26 Julai 2025 di ibu negara.
Pengumuman rasmi ini dibuat dalam satu sidang media khas di The Campus Ampang hari ini, disertai oleh wakil media, pihak penganjur dan barisan artis yang terlibat. Antara nama besar dari Indonesia yang bakal menggamatkan pentas termasuklah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas. Sementara itu, barisan bintang Malaysia tidak kurang hebatnya, menampilkan Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.
Festival ini menjanjikan pelbagai genre muzik seperti pop, rock, alternatif, hip hop dan indie mencipta ruang bagi pengunjung merasai kepelbagaian bunyi dan karya seni dari rantau Nusantara.
“Setiap tahun, ribuan peminat muzik dari Malaysia akan terbang ke Jakarta untuk menyertai Pestapora. Melihat kepada sambutan luar biasa itu, kami rasa inilah masanya untuk membawa semangat dan keajaiban festival ini terus ke Malaysia,” ujar Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group.

Beliau turut menambah, “Lebih 2,000 tiket telah terjual walaupun barisan artis belum diumumkan, membuktikan jenama Pestapora mempunyai kredibiliti dan sokongan kuat daripada peminat muzik tempatan. Latihan Pestapora ini merupakan peluang eksklusif kepada mereka yang belum berkesempatan ke Jakarta, dan juga buat peminat tegar untuk memanaskan enjin sebelum acara utama berlangsung.”
Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar konsert ia adalah simbol kolaborasi budaya, mempertemukan dua negara serumpun dalam satu sambutan muzik berskala besar. Acara ini juga membuka ruang untuk kolaborasi rentas negara dan peluang memperkenalkan karya tempatan di peringkat lebih luas menjelang Pestapora Jakarta pada September 2025.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan rasmi yang menjayakan festival ini: ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, HITZ, SINAR, MIX, THR Gegar dan SYOK (Radio Rasmi); World of Buzz dan Lobak Merah (Rakan Media Rasmi); Batik Air dan BookCabin (Rakan Pelancongan); Sunway Putra Hotel (Hotel Rasmi); Universal Music Malaysia (Sokongan); Tapao Fest (Rakan Strategik); dan The Campus Ampang (Lokasi Sidang Media Rasmi).
Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator turut berkata: “Tahun ini kami mencuba sesuatu yang baharu membawa jenama Pestapora menyeberangi sempadan ke Malaysia. Kami melihat potensi besar untuk memperkukuh jaringan seni, budaya dan peminat antara dua negara. Harapan kami, Latihan Pestapora Malaysia akan menjadi medan pertemuan dan pertukaran karya kreatif yang bermakna.”