WAHAI kaum wanita yang belum berkahwin, jangan selalu berfikir akan jodohmu yang belum kunjung tiba. Jangan rasa rendah diri dan patah hati. Hadapi kehidupan ini dengan tenang dan gembira.
Ia bukan kehendak kita. Itulah ungkapan mendalam yang diluahkan pendakwah bebas yang juga bekas pengacara Semanis Kurma TV9, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid kepada kaum wanita yang belum bertemu jodoh khususnya yang lewat usia.
“Jangan bersedih wahai wanita andai jodohmu belum tiba, jalanilah kehidupan seperti biasa. Jangan khuatir atau bimbang dengan kecaman segelintir masyarakat yang tidak memahami situasi anda,” ujarnya kepada wartawan Femina.
Kenapa perlu takut dan malu? Ini soal jodoh! Harus diingat bahawa jodoh di tangan Tuhan bukannya manusia.
“Buat wanita di luar sana, jika ada yang bertanya kenapa belum berkahwin? jawapannya mudah, jawablah jodoh anda belum sampai.
“Pada masa sama minta bantuan ibu bapa atau kawan-kawan tolong carikan jodoh. Tak salah asalkan anda berusaha,” katanya yang juga suami kepada pendakwah wanita terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.
Beliau turut meminta kaum hawa agar jangan terlalu memikirkan kecaman dan status sebaliknya bergaul dan berkawan dengan mereka yang sentiasa berfikiran positif.
“Jangan ambil pendekatan ‘suka menyendiri’, banyakkan bersosial selagi ia tidak melangkaui batasan yang ditetapkan agama.
“Saya akui terdapat golongan yang belum berkahwin lebih mengutamakan soal kerjaya berbanding diri sendiri. Jadi cuba kurangkan soal itu dan kembali kepada fitrah untuk merancang keluarga,” katanya.
Selain itu, lupakan kisah silam seperti putus cinta atau pernah dikecewakan kerana ia menghalang anda untuk hidup bahagia.
“Jangan meletakkan kriteria bakal suami terlalu ketat dan ideal seperti nak yang kaya, kacak seperti selebriti dan sebagainya. “Pilihlah yang beragama, paling penting dia mampu membahagiakan dan membawa anda ke syurga,” katanya.
Pada masa sama, perbanyakkan membaca doa seperti surah Furqan (ayat 74) untuk cepat bertemu jodoh.