DETIK waktu berlalu dengan sangat pantas. Sedar atau tidak, hanya berbaki 11 hari lagi Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal. Sesungguhnya, berpisah dengan bulan yang penuh keinsafan dan kemaafan itu sangat memilukan.
Jika panjang umur dan mendapat keizinan Yang Maha Esa, insya-ALLAH, kita akan dipertemukan dengan keindahan Ramadan sekali lagi.
Sebelum masa itu berlalu, apa kata umat Islam seboleh-bolehnya menumpukan kepada 10 malam terakhir meningkatkan amal ibadah.
Pada tempoh tersebut, terdapat satu malam yang dipanggil sebagai malam Lailatulqadar. Ia akan menjelma tanpa kita tahu tarikh dan masanya secara spesifik.
Hal itu secara jelas dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam satu surah pendek iaitu Surah al-Qadr. Sesungguhnya, malam yang terpilih itu dipanggil sebagai malam penuh keberkatan dan ia dihadiahkan oleh Maha Pencipta kepada hamba-Nya yang beramal dengan khusyuk dan ikhlas berdoa.
Malam tersebut juga sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman ALLAH SWT:
“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)
Mengapa ia terlalu istimewa sehingga sehingga disebutkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran?
Malam penentuan
Menjelaskan persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid bagi berkongsi ilmu.
Jelas agamawan itu, Lailatulqadar secara umumnya bermaksud malam penentuan ataupun takdir.
“Ada juga pendapat yang memberi maksud Lailatulqadar sebagai malam kekuasaan yang diambil daripada sifat ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa,” ujar beliau.
Ustaz Bakhtiar Fitri berkata, ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun!
“Ia membawa maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Bahkan, ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.
“Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita berterawih selama 83 tahun tanpa henti.
“Begitu juga jika kita membaca al-Quran, bertahajud atau berzikir, ia seumpama kita beribadah selama 83 tahun tanpa henti,” katanya sambil menjelaskan pada malam itu jugalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar buat Nabi Muhammad SAW.
Tanda-tanda
Bilakah malam Lailatulqadar akan muncul? Menurut Ustaz Bakhtiar Fitri yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management, ada banyak riwayat dan pandangan ulama mengenainya.
Bagaimanapun, hakikatnya, hanya ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui bilakah tarikh dan waktunya yang sebenar.
Namun demikian, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan daripada malam-malam yang ganjil.
Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)
Ujar pendakwah itu lagi, tanda-tanda berlakunya Lailatulqadar juga ada disebut dalam hadis. Antaranya disebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, suasana sangat tenang, nyaman dan tenteram, tidak panas dan tidak sejuk.
“Pada keesokan harinya selepas berlaku Lailatulqadar, disebutkan bahawa matahari terbit dengan sinaran yang tidak terlalu silau atau terlalu panas terik,” katanya.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis baginda SAW: “(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Keesokan harinya cahaya sinar mataharinya seakan kemerah-merahan.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar)
Pun demikian, Ustaz Bakhtiar Fitri sekali lagi mengingatkan kepada semua umat Islam, hanya ALLAH SWT yang lebih mengetahui bilakah secara tepat berlakunya Lailatulqadar.
“Ia disembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya dengan hikmah-hikmah tertentu iaitu supaya manusia lebih gigih dan bersungguh-sungguh beribadah setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan, pasti akan bertemu dengan satu malam yang dinamakan Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
“Bukan itu sahaja, hikmah disembunyikan bilakah malam Lailatulqadar agar manusia lebih menghargai pertemuan dengan malam itu. Sesuatu yang sukar dimiliki, sudah pasti lebih disayangi dan dihargai. Begitu juga dengan Lailatulqadar yang menjadi satu kenangan indah buat pemburunya,” ujarnya.
Kepada pembaca Sinar Islam, Ustaz Bakhtiar Fitri berkongsi doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW untuk dibaca apabila beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam sebuah hadis, Saidatina ‘Aisyah RA berkata: “Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar terjadi, apa yang harus aku ucapkan?” Baginda SAW menjawab: “Ucapkanlah: “Ya ALLAH, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Amalan
Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat turut melontarkan pandangannya untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.
Jelas beliau, hidupkanlah malam hari dengan iktikaf dan solat malam iaitu solat sunat tajahud, taubat, hajat dan sebagainya. Selain itu, perbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT dalam jumlah yang kita mampu.
Dr Mohd Nor turut memperincikan amalan yang disarankan dilakukan apabila seseorang individu terpilih oleh ALLAH SWT bertemu dengan bertemu malam Lailatulqadar.
“Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh ‘Aisyah RA apakah amalan yang patut dilakukan jika bertemu Lailatulqadar? Baginda SAW menyarankan supaya perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.
“Selain itu, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah,” katanya.
Beliau mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak menyibukkan diri dengan membeli-belah di sana sini atau sibuk membuat kuih raya sehingga terabai ibadah-ibadah khusus malam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Ujar Dr Mohd Nor, Rasulullah SAW sendiri begitu memfokuskan malam-malam terakhir Ramadan dengan melaksanakan ibadah.
“Malah baginda SAW juga memohon izin isteri baginda untuk meninggalkan giliran tidur di rumah masing-masing dan beriktikaf di masjid dengan ibadah solat-solat malam,” katanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Carilah ia dalam sepuluh terakhir dan jika salah seorang dari kamu adalah terlalu lemah atau tidak dapat beribadat, maka hendaklah dia tidak membenarkan dirinya daripada terlepas tujuh malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pensyarah itu menambah, malam Lailatulqadar sememangnya kurniaan yang terhebat bermakna.
“Begitu istimewanya malam Lailatulqadar itu adalah apabila para malaikat turun untuk merayakan keberkatan dan rahmat ALLAH yang sangat banyak.
“Sebahagian mentafsirkan para malaikat rahmat turun memenuhi bumi membawa bersama rahmat serta mendoakan untuk semua hamba yang beribadah dengan penuh keimanan.
“Kata Imam Al-Qurtubi, mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar,” ujar beliau sambil menjelaskan ia digambarkan ALLAH SWT menerusi firman-Nya di dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5.
Apa yang pasti, kedatangan Lailatulqadar adalah suatu yang pasti dalam bulan Ramadan.
“Kita hanya perlu istiqamah melaksanakan amalan yang dianjurkan setiap malam. Pastinya salah satu malam adalah Lailatulqadar dan semestinya milik kita,” jelas beliau.