Kusyuk solat syarat mendapat ketenangan jiwa

WALAUPUN perbuatan kusyuk dalam solat bukan salah satu daripada syarat sah wajib solat, tapi ia adalah sesuatu perkara yang penting untuk mendapatkan kesempurnaan dalam setiap ibadah solat yang dilakukan.

Sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Al-Mu’minun ayat satu dan dua memberi maksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang kusyuk dalam sembahyangnya.”

Sebahagian ulama berpendapat kusyuk adalah termasuk sebahagian daripada perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia dalam solat.

Dari segi bahasa pula khusyuk bermaksud: Tenang, tawaduk (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. Lihat Fath al-Qadir, al-Syaukani (1/977).

Ramai orang memandang enteng tentang kekusyukan dalam solat dan menganggap ia suatu perlakuan mudah. Ada yang melakukan seperti melepaskan batok di tangga tanpa berusaha untuk menghadirkan perasaan kusyuk dalam diri. Ada sekadar melakukan pergerakan anggota badan dan cukup syarat sah rukun solat sahaja.

Kadang-kadang dalam solat sempat lagi kita terfikir tentang urusan harian yang tiada kesudahannya, sedangkan solat yang dilakukan bukanlah mengambil masa lama, sekadar 5 hingga 10 minit sahaja.

Apa salahnya kalau kita waktu itu memberi ruang kepada diri untuk betul-betul fokus menghadap ALLAH SWT Yang Maha Pencipta.

Apabila seseorang itu melakukan ibadah dengan menghadirkan perasaan kusyuk sepenuhnya dalam jiwa, semestinya hati akan lebih tenteram.

Segala aktiviti dan pekerjaan seharian yang dijalankan pasti akan dipermudahkan.

Kusyuk akan menjadikan seseorang lebih berfikiran rasional, positif dan tidak mudah berputus asa.

Hal ini kerana, segala urusan yang dilakukan seharian diserahkan sepenuhnya kepada pencipta Rabbul Izzati.

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW bersabda: “Serahkan urusan kalian berdua kepada ALLAH Azza wa jalla, agar kalian merasa tenang.”

Menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah perkara yang menghalang kusyuk dalam solat ialah banyaknya syubhah dan syahwat serta kritikan hati terhadap perkara-perkara yang dicintainya.

Sebagaimana katanya, “Sesungguhnya banyaknya was-was kerana banyaknya syubhah dan syahwat, dan keterikatan hati terhadap perkara-perkara yang dicintainya, yang menuntutnya supaya mencarinya, serta perkara-perkara yang dibenci, yang hati terdorong untuk menolaknya.” (Lihat Majmu al-Fatawa: 22/607).

Justeru menjadi kewajipan kita, untuk berusaha menghasilkan khusyuk dalam solat dan mengambil sebarang faktor dan sebab yang membawa khusyuk dalam jiwa. Solat tanpa khusyuk sama seperti badan tanpa roh.

* Penulis penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *