Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasakan usahawan tempatan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk penganjuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 yang berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2025 di platform digital MyMall.
Kempen kali ini menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta, berbanding RM2.5 juta yang dicapai pada tahun 2024. Antara tarikan utama adalah penyertaan selebriti tempatan yang memasarkan produk seperti sambal dan pakaian, di samping jenama popular seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.
Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pada 17 Mac 2025 bertempat di Dewan ODEON, Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh UDA Holdings, salah satu agensi di bawah KUSKOP.
Menurut YB Datuk Ewon, kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai menyokong produk keluaran tempatan dan meningkatkan keterlihatan usahawan Malaysia, khususnya dalam musim Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang akan datang.
Usahawan tempatan yang berminat untuk mengembangkan pasaran mereka dialu-alukan menyertai platform MyMall dengan mendaftar di www.mymallmalaysia.my atau menghantar pertanyaan melalui e-mel ke contact@mymallmalaysia.my. Orang ramai pula boleh mendapatkan pelbagai kelengkapan Ramadan dan Raya secara terus di platform tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyampaian Anugerah Top Sales Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024, Top Sales Year End Sales 2024, serta Anugerah Rising Star Merchant sebagai penghargaan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Kempen ini bukan sahaja menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, malah menjadi medium penting dalam proses pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.
KUSKOP akan terus mempergiat usaha dalam membina ekosistem keusahawanan yang mampan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan elemen kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.