Kunjungi Omura, bandar kecil yang mengagumkan

BARANGKALI sebuah bandar kecil, Omura terletak dalam wilayah Nagasaki di Pulau Kyushu, Jepun kurang popular dalam kalangan kita. Akan tetapi, istimewanya lokasi itu kerana keindahannya mempesonakan dengan taburan bunga-bungaan dan pemandangan memukau.

Bermaksud ‘kampung besar’ dalam bahasa Jepun, Omura sudah bertapak sejak lebih 900 tahun lalu. Pada abad ke-15, bandar itu mula terkenal dan menjadi antara pelabuhan terawal orang Eropah yang belayar ke Jepun.

Bermula dengan perkembangan sistem perdagangan dan kegiatan mubaligh pada abad ke-16, Omura boleh dikatakan agak mundur berbanding bandar seperti Kyoto, Osaka atau Nagasaki. Apa pun, ia kaya dengan keindahan landskap semula jadi dan khazanah sejarah.

BUNGA-BUNGAAN di Taman Omura.

BUNGA-BUNGAAN di Taman Omura.

Bagi pencinta alam dan tambo yang berhasrat ke situ, kunjungan ke Omura boleh dimulakan dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo selama dua jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nagasaki. Terdapat banyak hotel bajet berdekatan stesen kereta api Omura. Hanya mengambil masa kira-kira 15 minit menaiki bas atau teksi dari lapangan terbang untuk ke situ.

Berikut tarikan Omura yang dikongsikan Bernama:

1. Taman sakura, Istana Kushima

Antara tarikan pelancong di Omura ialah Taman Omura yang mempunyai lebih 2,000 pokok sakura dan 300,000 pokok bunga iris. Menariknya, taman berkenaan adalah antara 100 destinasi popular di Jepun yang terkenal dengan keindahan bunga sakura mekar. Di puncak bukit taman pula, terdapat kesan runtuhan Istana Kushima yang dibina pada 1599 oleh kaum kerabat Omura yang sangat berkuasa ketika itu. Malangnya, istana itu musnah semasa revolusi Meiji pada 1871 dan kini hanya tinggal struktur batuan unik.

POKOK sakura merimbun yang menghiasi Taman Omura.

POKOK sakura merimbun yang menghiasi Taman Omura.

Tidak lengkap melawat Jepun jika tidak menikmati makanan tradisinya, susyi. Susyi Omura yang diperkenalkan pada abad ke-15 merupakan makanan yang menjadi simbol kemenangan kaum kerabat Omura dalam peperangan. Susyi Omura dikatakan lebih istimewa berbanding susyi lain kerana lapisan telur dadarnya yang berwarna-warni, mengandungi cendawan, cuka, lobak merah dan bahan-bahan lain. Nikmati keenakan susyi itu dari puncak bukit bersama pemandangan menakjubkan Teluk Omura, berhampiran Istana Kushima. Kelihatan di seberang Teluk Omura,

Lapangan Terbang Antarabangsa Nagasaki iaitu lapangan terbang pertama di dunia yang dibina di atas tanah tambakan laut.

2. Aktiviti luncur layar di Kotohira Skypark

Pemandangan indah bandar Omura juga boleh diterokai melalui aktiviti luncur layar di Kotohira Skypark di puncak Gunung Kotohira. Terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari stesen kereta api Omura, Kotohira Skypark yang berada pada ketinggian 330 meter (m) dari aras laut menawarkan pemandangan indah 360 darjah bandar Omura dan Teluk Omura.

Ketika musim bunga, kira-kira 200 pokok bunga sakura di taman itu mekar sepenuhnya. Pemandangan bunga-bungaan berwarna-warni bak hamparan permaidani yang berlatarbelakangkan Gunung Tara ternyata memukau. Seorang mubaligh warga Amerika Syarikat dari Virgina, Cathy Garrott yang datang ke Omura 38 tahun lalu menyifatkan taman tersebut sebagai tempat sesuai untuk pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.

CATHY berhijrah ke Omura hampir 38 tahun lalu.

CATHY berhijrah ke Omura hampir 38 tahun lalu.

Menurutnya, pengunjung pasti teruja untuk mencuba sesuatu dengan melakukan aktiviti meluncur layar melintasi lereng curam Gunung Kotohira. Cathy berkata, biasanya peluncur layar akan mendarat di dataran luas di kaki Gunung Kotohiradake iaitu berhampiran persimpangan Omura di Lebuh Raya Nagasaki.

“Selain pelancong dewasa, taman tersebut turut menarik pengunjung kanak-kanak yang gemar menaiki gelongsor sepanjang 99.9m,” katanya.

3. Pengaruh agama

Cathy berpindah ke Omura bersama suaminya seorang pensyarah bahasa Inggeris, Jackson M Garrott untuk menubuhkan rumah ibadat Shinsei No Sato di Omura. Garrot, 72, berkata, pelawat berlatarbelakangkan pelbagai negara seperti Taiwan, Hong Kong, Amerika Syarikat dan bahagian lain dari Jepun sering singgah ke situ.

Pada pandangan Sihat:Aktif, dari satu segi, sudah semestinya sisi kedamaian dengan alam semula jadi dan panorama indah anugerah ILAHI merupakan magnet ke Omura.

Sumber