KPKT sokong inisiatif World #QuranHour

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong penuh inisiatif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang melaksanakan kempen World #QuranHour.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya juga komited untuk menerapkan nilai kerohanian dalam kalangan kakitangan termasuklah membudayakan amalan membaca al-Quran.

“Kita (KPKT) sangat menyokong usaha ini (World #QuranHour) kerana ia merupakan aktiviti baik serta peluang untuk kita tambah pahala.

“Tahun ini merupakan kali pertama kita sertai kempen, insya-ALLAH kita akan teruskan lagi pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada majlis berbuka puasa di kementeriannya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, melalui kempen kerohanian sedemikian ia secara tidak langsung dapat membentuk kakitangan yang positif dan penuh dengan nilai-nilai murni.

Sementara itu, Zuraida berkata, kementeriannya juga akan menghantar wakil untuk menyertai pelancaran World #QuranHour yang akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak pada 30 Mei ini.

“Kita akan hantar wakil untuk turut serta memeriahkan majlis sebagai tanda sokongan kepada kempen ini,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *