Ikon muzik dan fesyen tanah air, Hael Husaini, akhirnya mengumumkan konsert solo pertamanya yang dinanti-nantikan bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025. Dikenali dengan suara unik, penampilan elegan dan kreativiti luar biasa, Hael menjanjikan sebuah malam yang menggabungkan elemen muzik, seni dan fesyen dalam satu pengalaman penuh emosi yang akan mencipta sejarah dalam landskap hiburan tempatan.
Konsert yang diberi judul Hael Husaini & Repertoire bukan sekadar persembahan pentas, tetapi sebuah manifestasi perjalanan seni Hael yang telah mencorak industri muzik Malaysia. Dari kemenangan dua tahun berturut-turut di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” bersama Dayang Nurfaizah, Hael turut menyerlah sebagai pencipta lagu prolifik. Salah satu hasil karyanya, “Anta Permana” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dipilih menghiasi senarai lagu rasmi diraja The King’s Music Room oleh Raja Charles III, sekali gus mengangkat muzik tempatan ke pentas global.
Hael turut melakar kejayaan antarabangsa apabila lagu “Diam”, runut bunyi drama tempatan, memenangi kategori “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 yang berlangsung di Singapura. Dalam dunia fesyen pula, Hael menjadi antara wakil Malaysia ke Milan dan Paris Fashion Week 2025, memperagakan jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Emporio Armani dan Kenzo. Penampilan tersebut meletakkan beliau sebagai figura seni yang tidak hanya beraksi di pentas hiburan, tetapi juga bergaya di pentas antarabangsa.
Pengumuman rasmi konsert ini dibuat ketika siaran langsung Big Stage Alpha pada 1 Jun 2025, di mana Hael turut bertindak sebagai juri tetap. Sebelumnya, beliau telah memberikan petunjuk dalam mini showcase “Antonim Night” di PJPAC, sebelum akhirnya mengesahkan kehadiran dua artis undangan istimewa Dayang Nurfaizah dan Nadeera yang bakal turut memeriahkan pentas pada malam konsert tersebut.
Namun kejutan tidak terhenti di situ. Menerusi satu ciapan di laman X, Hael memberi bayangan bahawa lebih ramai artis akan bersama beliau. Spekulasi peminat akhirnya disahkan apabila dua lagi nama besar diumumkan Wany Hasrita dan Nabila Razali menjadikan konsert ini satu himpunan eksklusif bakat dan suara terbaik negara. Gabungan ini pastinya menjanjikan persembahan memukau dan kolaborasi istimewa yang menggetarkan emosi.
Konsert Hael Husaini & Repertoire dijangka menyajikan susunan muzik baharu, persembahan visual yang sinematik serta segmen istimewa daripada barisan artis jemputan. Selain itu, konsert ini juga akan menampilkan elemen fesyen eksklusif yang mencerminkan transformasi gaya dan cita rasa seni Hael sepanjang kariernya. Beliau menyatakan hasrat untuk membawa peminat menyelami setiap bab dalam kisah hidup dan seninya bukan sekadar mendengar lagu, tetapi turut merasai emosinya.
Tiket bagi konsert ini akan mula dijual pada 3 Jun 2025, bermula jam 12 tengah hari melalui platform ticket2u.com.my. Antara kategori tiket yang ditawarkan termasuk Platinum (RM258), Gold (RM168), Silver (RM148), dan Bronze (RM120) kesemuanya dalam format berdiri. Sementara itu, pakej eksklusif VIP Box berharga RM588 (duduk) menyediakan ruang peribadi untuk 10 orang lengkap dengan pas meet & greet, barangan eksklusif dan akses masuk khas VIP.
Peminat yang membeli tiket Platinum akan menerima poster konsert bertandatangan eksklusif. Manakala pemilik tiket VIP Box akan turut menerima poster bertandatangan, barangan rasmi, minuman, hidangan ringan dan ruang peribadi eksklusif. Kolaborasi media rasmi bersama ERA, Sinar dan Gegar, serta Gempak sebagai rakan digital dijangka memperhebatkan lagi sambutan terhadap konsert ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Konsert Hael Husaini & Repertoire, peminat boleh mengikuti saluran rasmi media sosial Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.