Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 Himpunkan Penyanyi Legenda di Zepp Kuala Lumpur!

Peminat muzik Malaysia bakal disajikan dengan pengalaman epik menerusi Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 yang bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini dijangka menjadi sebuah malam yang penuh dengan nostalgia, mempersembahkan sembilan penyanyi lagenda yang telah lama mencorak industri muzik tanah air.

Antara penyanyi yang bakal menghangatkan pentas adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi. Konsert ini adalah penghormatan kepada tiga dekad kegemilangan industri muzik Malaysia, dengan menampilkan artis-artis terkenal dari pelbagai genre seperti pop, rock, dan balada.

Bertemakan ‘Back to the 80’s & 90’s’, konsert ini akan membawa peminat muzik tempatan ke zaman kegemilangan muzik tanah air. Persembahan ini bakal menyatukan artis-artis dari pelbagai generasi untuk sebuah kolaborasi yang jarang berlaku, memberikan sentuhan istimewa pada setiap persembahan.

Selain daripada persembahan solo yang memukau, konsert ini juga akan mempersembahkan gabungan vokal hebat dalam segmen istimewa yang menampilkan penyanyi-penyanyi ini bersama-sama di atas pentas. Para penonton boleh menjangkakan momen magis apabila artis-artis dari generasi berbeza berkongsi pentas dan memberi sentuhan tersendiri dalam setiap lagu yang dipersembahkan.

Konsert ini akan memaparkan 22 lagu yang pernah dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu dan memenangi pelbagai anugerah berprestij. Antaranya, lagu-lagu hit yang telah mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air. Selain itu, kemunculan istimewa daripada Kid Search, pemain gitar asal kumpulan Gersang menerusi lagu Masih Aku Terasa, pasti menambah lagi momen berharga dalam konsert ini.

Afiezan Shah Mohd Zahari, Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, menyatakan bahawa konsert ini bertujuan untuk meraikan karya seni muzik yang telah memberi impak besar kepada industri muzik Malaysia. “Setiap penyanyi yang terlibat dalam konsert ini telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar mereka. Konsert ini bukan hanya untuk meraikan artis-artis lagenda, tetapi untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia,” katanya.

Menurut Afiezan lagi, konsert ini bertujuan untuk memberi pengalaman penuh kenangan kepada penonton, menyatukan peminat muzik untuk meraikan perjalanan panjang industri muzik Malaysia. Para penonton dijangka akan dihidangkan dengan lagu-lagu hits daripada artis-artis tersohor yang telah berjaya mencuri perhatian ramai sepanjang dekad-dekad yang lalu.

Sebagai penambah seri kepada malam penuh nostalgia ini, penganjur mengajak penonton untuk mengenakan pakaian bertemakan retro. Ini akan menghidupkan suasana lebih meriah dan memberi peluang kepada penonton untuk mengabadikan kenangan bersama artis-artis yang telah mewarnai industri muzik tanah air.

Tiket untuk konsert ini sudah mula dijual sejak 29 September 2024 dan boleh didapati di laman web www.myticketempire.com. Untuk maklumat lebih lanjut, ikuti Instagram rasmi MEGAHITZ @pentas365. Konsert ini turut mendapat sokongan daripada stesen radio Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM sebagai radio rasmi.

Dengan gabungan artis-artis lagenda, persembahan menarik, dan semangat nostalgia yang mendalam, Konsert MEGAHITZ 3 DEKAD VOL.1 pasti menjadi malam yang tidak akan dilupakan oleh peminat muzik Malaysia.