Konsert GENKRU Cipta Sejarah! Tiket Konsert Hari Kedua Habis Dalam Rekod 45 Minit

Peminat KRU sekali lagi membuktikan kesetiaan mereka apabila tiket untuk konsert GENKRU pada hari kedua habis terjual dalam masa hanya 45 minit! Ini merupakan pencapaian luar biasa selepas tiket untuk hari pertama konsert yang berlangsung pada 3 Mei 2025 turut habis terjual dalam masa satu jam.

Iman Tang, pengasas ICON ENTERTAINMENT, meluahkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa peminat kepada kumpulan ikonik negara ini.

“Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa 1 jam manakala tiket hari kedua habis dalam durasi 45 minit. Ini semua merupakan tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat IKON trio negara kita. Saya mewakili ICON ENTERTAINMENT dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’,” ujar Iman Tang.

Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur berjanji akan memastikan konsert ini memberikan pengalaman paling epik buat semua peminat yang berjaya mendapatkan tiket.

“Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapatkan kepuasan MAKSIMA pada dua-dua hari konsert itu kelak,” tambah Iman.

Konsert GENKRU dijangka menjadi salah satu acara muzik terbesar pada tahun 2025. Berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur, acara ini merupakan peluang emas buat peminat KRU untuk menyaksikan persembahan trio legenda itu secara langsung, lengkap dengan teknologi terkini dan persembahan penuh nostalgia.

Informasi Konsert

  • ACARA: Konsert GENKRU
  • LOKASI: Axiata Arena, Kuala Lumpur
  • TARIKH:
    • 3 Mei 2025 (Sabtu)
    • 4 Mei 2025 (Ahad)
  • MASA: 8.30 malam
  • PENGANJUR: ICON ENTERTAINMENT

Sebagai tindak balas kepada permintaan peminat yang tinggi, pihak ICON ENTERTAINMENT mengumumkan konsert tambahan pada hari kedua, iaitu pada 4 Mei 2025. Tiket mula dijual pada 23 Disember 2024 jam 3 petang, namun sambutan yang luar biasa menyebabkan tiket habis dalam masa kurang daripada sejam.

Kejayaan ini tidak hanya membuktikan kehebatan KRU sebagai ikon muzik tanah air tetapi juga sokongan teguh peminat yang masih menganggap kumpulan ini sebagai legenda muzik Malaysia.

ICON ENTERTAINMENT menjanjikan konsert ini sebagai pengalaman luar biasa buat semua GenKRU. Dari pemilihan lokasi bertaraf dunia hingga teknologi pentas dan visual terkini, konsert ini akan menjadi satu perayaan epik untuk mengenang perjalanan muzik KRU.

Untuk sebarang maklumat terkini mengenai konsert, sila layari platform rasmi ICON ENTERTAINMENT atau ikuti akaun media sosial mereka.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah apabila KRU kembali ke pentas besar untuk menyatukan semua generasi peminat mereka dalam sebuah malam penuh magis!