KONSERT GELOMBANG BAHAGIAKU: ATILIA HARON & SALAMIAH HASSAN – DUA GENERASI, SATU GELORA CINTA SENI

Menyatukan dua suara dari dua era yang berbeza, namun berpadu dalam satu semangat cinta dan seni, “Konsert Gelombang Bahagiaku” bakal menyaksikan Atilia Haron berkongsi pentas bersama ibunya, legenda seni suara negara Salamiah Hassan. Persembahan istimewa ini akan berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8:30 malam di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Lebih dari sekadar konsert, acara ini merupakan manifestasi kasih sayang antara ibu dan anak, yang bukan sahaja disatukan oleh pertalian darah, tetapi juga oleh muzik yang menjadi nadi kehidupan mereka berdua. Ia adalah simbolik kepada cinta abadi, hormat generasi dan keindahan kolaborasi seni yang jujur.

Bagi Atilia, konsert ini adalah pencapaian peribadi paling bermakna dalam karier seninya. “This is a dream come true for me! Sejak kecil, saya mengagumi ibu saya. Kini, dapat berkongsi pentas besar bersamanya adalah satu penghormatan yang saya simpan dalam hati selamanya,” kata Atilia penuh emosi. Melalui konsert ini, Atilia menterjemahkan rasa cinta, hormat dan penghargaan kepada figura yang membentuk kehidupannya bukan sekadar sebagai anak, tetapi juga sebagai seorang artis

Konsert ini turut menjadi momen istimewa buat Salamiah Hassan yang menyambut ulang tahun ke-55 penglibatannya dalam dunia seni. “Ini kali pertama saya dan Atilia tampil bersama dalam persembahan berskala besar. Kami datang dari era dan gaya yang berbeza, namun muzik menyatukan kami. Ia satu penghargaan dan pengalaman yang amat saya hargai,” ujar Salamiah.

Salah satu kemuncak yang dinanti ialah persembahan eksklusif lagu baharu duet mereka berjudul Age Is Just A Number. Lagu ini membawa mesej keberanian untuk terus bermimpi, berkarya dan mencintai kehidupan tanpa mengira usia. Menurut Atilia, “Ia mencerminkan perjalanan kami berdua – dua wanita berdikari yang memilih untuk hidup dengan semangat, cinta dan kejujuran.”

Atilia tidak sabar menantikan saat mereka berdua saling berpandangan dan menyanyi bersama di atas pentas. “Saya pasti detik itu akan menjadi momen paling magis dalam hidup saya,” katanya. Salamiah pula berharap kehangatan dan jalinan kasih ibu-anak itu dapat dirasai penonton melalui getaran suara dan jiwa mereka. “Kami mungkin berbeza, tapi kecintaan kami terhadap seni menyatukan kami lebih mendalam.”

Perjalanan untuk merealisasikan konsert ini bukanlah mudah. Namun atas dasar kepercayaan dan semangat yang tidak pernah padam, Atilia dan Salamiah bertekad menjadikannya kenyataan. “Kami mula dengan usaha sendiri dan bantuan sahabat-sahabat terdekat. Alhamdulillah, ada yang percaya dan bersama kami sepanjang proses ini,” kongsi Atilia.

“Konsert Gelombang Bahagiaku” dijangka menjadi malam yang penuh nostalgia, cinta dan keindahan muzik merentas generasi. Ia adalah hadiah istimewa untuk mereka yang menghargai nilai kekeluargaan, seni dan kasih yang tulus. “Kami ingin berkongsi sesuatu yang ikhlas, yang dekat di hati. Semoga ia menyentuh jiwa anda semua,” kata Atilia menutup bicara.

Tiket mula dijual pada 13 Mei 2025 jam 10:00 pagi di laman web ticket2u.com.my/event/43440. Untuk maklumat lanjut, sila ikuti saluran rasmi artis dan penganjur di media sosial.