Rong Geng Entertainment dengan penuh bangga mengumumkan penganjuran Konsert “For You: Nourul”, sebuah persembahan eksklusif yang diraikan khas untuk menghargai legasi, ketekunan, dan pencapaian seni penyanyi berbakat, Nourul Depp, sepanjang lebih 30 tahun beliau mewarnai industri muzik Malaysia. Konsert yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 17 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur, bermula pada jam 8.00 malam. Menampilkan produksi pentas moden, ritma kontemporari, susunan muzik segar, serta elemen visual premium, konsert ini dijangka menghimpunkan lebih 1,500 penonton daripada pelbagai latar belakang termasuk peminat setia, rakan media, penggiat industri kreatif, influencer, dan komuniti seni tempatan.
Konsert “For You: Nourul” bukan sekadar persembahan muzik, tetapi juga naratif perjalanan seni seorang penyanyi yang konsisten mengekalkan keunggulan vokal, disiplin, kecergasan, dan personaliti selama tiga dekad. Penonton akan dibawa menyelusuri era muzik Nourul yang penuh warna, bermula daripada lagu-lagu hit 90-an sehinggalah single popular era 2000-an yang memperlihatkan kematangan vokal, emosi, dan evolusi muzik beliau. Konsert ini turut menampilkan persembahan energetik dengan susunan muzik moden, segmen akustik “intimate storytelling” khas buat peminat tegar, kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan, serta tribute visual yang mengimbau perjalanan seni dan pencapaian beliau.

Selepas lebih 30 tahun berkarya, konsert berskala besar ini membawa makna mendalam buat Nourul Depp. Beliau berkongsi bahawa perasaan kembali ke pentas besar sebagai artis solo adalah sesuatu yang sangat emosional dan penuh syukur. Menurut Nourul, impian lamanya akhirnya tercapai, membolehkan beliau memberikan persembahan yang benar-benar mencerminkan siapa dirinya sebagai seorang penyanyi, seorang wanita, dan seorang insan. Beliau berjanji untuk memberikan sepenuh hati, tenaga, dan jiwa kepada penonton kerana sokongan mereka menjadikan perjalanan 30 tahun ini bermakna. Konsert ini dijangka menjadi persembahan paling peribadi, paling jujur, dan paling bertenaga dalam kerjayanya, sebuah malam yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh dan menginspirasikan.
Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Bin Kuswadinata, menyatakan bahawa konsert ini adalah hadiah untuk peminat, rakan industri, dan seluruh rakyat Malaysia yang telah menyokong karya Nourul selama lebih 30 tahun. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu perayaan kehidupan, ketabahan, dan evolusi seni yang membentuk siapa Nourul hari ini. Penonton dijangka dapat merasai perjalanan itu secara visual, emosi, dan muzik, menjadikan malam ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan.Tiket untuk menyaksikan Konsert For You: Nourul akan mula dijual pada harga serendah RM105 (GOLD), RM155 (DIAMOND), RM255 (PLATINUM), dan RM355 (VIP) bermula hari ini, 2 Disember 2025, jam 12:00 tengah hari di platform rasmi Ticket2U. Sebarang maklumat lanjut mengenai penganjuran konsert ini juga akan diumumkan dari semasa ke semasa.