Headlines

Koleksi Premium Keluang Man Kini di Royal Selangor, Dibawakan oleh Astro Shaw

Sebelum penonton menyaksikan aksi Keluang Man di layar perak pada 29 Mei 2025, Astro Shaw memberi peluang istimewa kepada peminat untuk merasai pengalaman lebih mendalam melalui koleksi piuter eksklusif yang dihasilkan bersama Royal Selangor. Filem arahan Anwari Ashraf yang dibarisi pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, dan ramai lagi ini sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat baharu mahupun lama.

Koleksi ini bukan sahaja menjadi medium penghargaan kepada siri animasi ikonik yang telah mencorakkan zaman kanak-kanak ramai rakyat Malaysia, tetapi juga platform untuk mengekalkan warisan itu dalam bentuk fizikal yang boleh dimiliki dan diwarisi. Figurin dan pin yang dihasilkan membawa nostalgia sambil memberi rasa bangga terhadap penceritaan lokal yang kini tampil dalam bentuk produk premium. Dengan hanya 30 unit figurin dan 100 unit pin yang dihasilkan, ia memberi peluang eksklusif kepada peminat sebenar untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Keluang Man, bukan hanya sebagai penonton, tetapi sebagai pemilik warisan.

Bagi mereka yang ingin menyemak kembali kisah asal Keluang Man, siri animasi penuh dari musim pertama hingga ketiga boleh ditonton secara dalam talian di www.keluangman.com. Sementara itu, segala perkembangan filem serta kandungan eksklusif lain boleh diikuti di saluran media sosial rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan tanda pagar #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk menyertai perbualan dan berkongsi keterujaan menjelang tayangan filem ini.