SEMPENA tirai tahun 2020, pereka fesyen, Rico Rinaldi Tono (Rico) memperkenalkan koleksi resort yang dinamakan The Greatest Gateway.
Bersesuaian dengan iklim di Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun, Rico mengambil inisiatif menghasilkan himpunan busana yang disifatkan praktikal untuk digayakan oleh wanita.
Justeru, bertempat di Le Gardens Pavilion, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini, pereka berusia 33 tahun itu menganjurkan pertunjukan fesyen eksklusif tersebut merupakan keluaran kelapan pakaian wanita di bawah label fesyen Rico Rinaldi.
Menurut graduan Diploma Fesyen dan Rekaan, Universiti Limkokwing itu, koleksi resort The Greatest Gateway yang menggunakan fabrik bercetak dan flora ideal digayakan dalam pelbagai stail mengikut keselesaan si pemakai.
Ia juga dapat memenuhi cita rasa wanita yang ingin tampil bergaya ketika menikmati percutian di pulau atau pusat peranginan.
“Jika diperhatikan signatur rekaan saya terletak pada cetakan flora, fauna dan manik. Bagaimanapun, untuk koleksi baharu ini, penerapan manik tidak sesuai kerana ia akan menenggelamkan identiti resort yang lazimnya menterjemah mood santai, kasual dan bebas,” katanya ketika dihubungi Femina baru-baru ini.
Menariknya mengenai koleksi resort Rico, selain helaian dres dan blaus potongan longgar dan ringkas, kaum Hawa juga berpeluang mendapatkan seluar panjang cetakan bold yang ideal dipraktikkan konsep suai dan padan.
Misalnya, mereka yang memenuhi majlis minum petang, padankan celana motif flora bersama blaus rekaan elegan manakala jika ingin bersantai atau keluar membeli-belah, memadai menggayakan seluar yang sama dengan baju-T polos. Pendek kata, biarpun menampilkan rekaan minimalis, namun eksperimen Rico untuk menyerlahkan keanggunan wanita tidak pernah mengecewakan.
Tutur Rico, selari dengan cuaca di negara ini, maka kain krep dan sifon dipilih sebagai material utama.
“Kedua-dua jenis fabrik itu bukan sahaja menyuntik keselesaan pada kulit, bahkan membantu mencipta siluet menawan dan tampak terletak pada tubuh wanita,” ujarnya.
Rico yang pernah menjuarai Piala Seri Endon 2009, turut menjelaskan, busana berasaskan kain krep dan sifon sesuai digayakan semua wanita.
Ini bermakna, baik mereka yang bertubuh langsing mahupun gempal, berhijab ataupun tidak, masing-masing berpeluang tampil menawan dalam persalinan busana tersebut kerana sifatnya tidak melekap pada badan dan tidak membataskan pergerakan langkah.
Mengulas mengenai permainan warna, koleksi resort jenama Rico Rinaldi nampaknya lebih cenderung menggunakan palet terang seperti jingga, biru, hijau dan merah.
“Penggunaan warna-warna terang dan berani adalah untuk membangkitkan aura ceria. Namun begitu, saya turut menerapkan rona pastel yang terdiri daripada kelabu dan hijau muda bagi memberi keseimbangan tatkala bergaya,” katanya.
Serentak dengan pelancaran koleksi baharu itu, Rico Rinaldi turut melancarkan koleksi kelima tas tangan Riri.
Ia termasuklah sepatu dengan perincian block heels berasaskan nuansa merah jambu telus, coklat, khaki dan hijau zaitun.
ANEKDOT
Koleksi The Greatest Gateway Rico Rinaldi
Lokasi:
a) 6-27-3A, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Seksyen 8, Bangi Sentral, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
b) N-1-10 Plaza Damas, 60 (Ground Floor), Jalan Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur
Harga: Bermula dari RM98
Instagram: @ricorinaldi
Facebook: @ricorinaldi
Web: www.ricorinaldi.com
E-mel: info.ricorinaldi@gmail.com