Ketum masih lagi berbahaya

Soalan pembaca:

BARU-BARU ini, heboh diperkatakan daun ketum boleh dimanfaatkan sebagai alternatif untuk mengubati penyakit. Malah masyarakat di luar negara seperti di Florida, Amerika Syarikat juga sudah mula menanam tumbuhan herba ini. Namun, saya musykil mengapa negara kita yang berpotensi besar menjadi pengeluar tanaman ini dan boleh memanfaat dari pelbagai sudut bertindak mengharamkan penggunaannya. Boleh doktor bantu saya untuk menjelaskannya?

Daripada Mohd Saharudin Yahaya, Klang, Selangor.

Jawapan:

Pasti ada yang teruja apabila membaca laporan dalam akhbar atas talian mengenai ketum yang didakwa mempunyai khasiat dalam konteks perubatan.

Kononnya juga, laporan tersebut memetik bahawa ia merupakan hasil kajian dari seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan. Saya telah membaca dengan teliti setiap ulasan artikel itu.

Sayugia, saya merumuskan bahawa ketum masih lagi berbahaya untuk kegunaan awam.

Kajian yang dibuat oleh seorang pengkaji dari universiti di Malaysia itu pun masih di peringkat kajian dan memerlukan kajian susulan serta lebih kemas dari sudut metodologi.

Mana mungkin penyelidikan berbentuk pemerhatian secara hirisan lintang itu terus boleh mendakwa ketum baik untuk kesihatan dan mempunyai manfaat perubatan?

Para pengkaji mahir dalam bab statistik kajian tidak akan cepat membuat konklusi yang tidak tepat kerana pada akhirnya masyarakat umum akan menyalin tampal kenyataan itu di luar dari konteks sebenar.

Atau mungkin ulasan wartawan yang tidak memahami kaedah statistik dan metodologi kajian untuk diterjemahkan kepada masyarakat umum?

Penulisan yang diberitakan dalam laman web berkenaan juga dilihat lebih kepada pengalaman seseorang yang berada di lapangan.

Misalnya, pengalaman orang-orang tua menggunakan ketum itu boleh diterima sebagai satu petua yang tiada alternatif lain kerana mungkin berada dalam keadaan terdesak.

Ketagih

Namun, perlu diingat, ketum akan membuatkan seseorang menjadi ketagih. Tanda-tanda ketagih mula kelihatan seawal 28 jam!

Oleh demikian, unsur penyalahgunaan ini perlu dititik beratkan berbanding dengan manfaat yang sedikit.

Tambahan pula, masyarakat kita di Asia ‘terlalu kreatif’ dalam mengambil ketum sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada badan.

Ada antara mereka yang mencampurkan dengan dadah lain dan bahan-bahan bahaya seperti ubat nyamuk dan sebagainya.

Apa merisaukan kami di posisi ahli perubatan ialah kesilapan kenyataan dari pihak tertentu boleh menyebabkan orang awam mendapatkan akses berubat dengan perkara yang masih belum dibuktikan secara empirikal sahih.

Jika ia hanya dalam bentuk anekdot dan tiada asas kajian yang kukuh, dibimbangi orang awam akan meletakkan sandaran berubat kepada sumber tidak tepat.

Sedangkan kaedah untuk merawat penyakit-penyakit didakwa itu sudah pun terbina dalam perubatan moden.

Keluarkan amaran

Pihak berkuasa sebenarnya telah beberapa kali mengeluarkan amaran atas dakwaan dan tuntutan perubatan yang tidak tepat mengenai khasiat perubatan ketum.

Lebih menyedihkan lagi, berita yang di luar konteks dan tidak tepat itu disiarkan dalam laman-laman web Islamik. Ia seolah-olah menggambarkan Islam membenarkan mengambil bahan terlarang tersebut sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti telah pun mengeluarkan hukum bahawa ketum adalah haram.

Lihat ulasan yang telah dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Memetik kenyataannya:

“Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya (kerosakan) lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik. Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum.”

Sebelum itu, pada 1 Ogos 2016, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak telah memutuskan bahawa cadangan penanaman pokok ketum adalah diharamkan. Ini berdasarkan kepada mafsadah dan mudarat yang lebih besar berbanding dengan manfaatnya.

Semoga dengan pencerahan ini boleh menjelaskan kekusutan yang berlaku akibat dari kekeliruan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

Dr Suhazeli Abdullah

Merupakan pemegang Sarjana Perubatan (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga.

Beliau juga banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *