KENYATAAN RASMI TV ALHIJRAH: TV ALHIJRAH MEMPERKASA UMMAH MELALUI ILMU

TV AlHijrah memandang serius dakwaan tidak berasas dan kurang tepat yang dibuat terhadap stesen Islam utama negara itu dalam satu episod podcast baru-baru ini.

Sejak mula bersiaran pada 7 Disember 2010, bersamaan dengan 1 Muharram 1432H, TV AlHijrah telah berada di barisan hadapan dalam mempromosikan Islam sebagai cara hidup, dengan fokus mendidik masyarakat melalui pelbagai genre program yang menginspirasikan jiwa berdasarkan ajaran Al-Quran, Hadis, dan Sunnah serta mengikut prinsip Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Sebagai sebuah agensi media milik kerajaan, TV AlHijrah terus menyokong aspirasi kepimpinan negara dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, progresif, dan seimbang dari segi mental dan rohani. Ini direalisasikan melalui pelbagai jenis kandungan seperti bual bicara, dokumentari, berita, program kanak-kanak, serta hiburan yang mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh badan-badan berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Mengusung slogan *Satukan Ummah Dengan Ilmu*, hampir keseluruhan program yang disiarkan di TV AlHijrah bertujuan memperkayakan pengetahuan serta pengisian rohani, selain menyebarkan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan dalam membangun negara MADANI yang mampan dan inklusif, berteraskan pelan Al Falah.

Kejayaan TV AlHijrah sebagai saluran agama sangat membanggakan. Stesen ini berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima saluran terbaik di Malaysia, meskipun beroperasi dalam landskap media yang didominasi oleh saluran hiburan drama dan konsert. Sejak 14 tahun lalu, jutaan rakyat Malaysia telah meraih manfaat daripada program-program yang disiarkan oleh TV AlHijrah, dengan banyak maklum balas positif diterima, bukan sahaja dari dalam negara, tetapi juga dari negara-negara jiran.

Berikut merupakan antara program-program yang dihasilkan dan disiarkan melalui pelbagai platform, termasuk platform media digital, TV AlHijrah sentiasa berusaha membentuk masyarakat dengan nilai-nilai Islami dan mengukuhkan spiritual rakyat Malaysia, menjadikannya rakan setia yang sentiasa mendampingi penonton dengan kandungan yang mendidik serta menghiburkan.

Program Agama

  1. Panggilan Agung (kapsul zikir, selawat, perkongsian pendek dan azan).
  2. Assalamualaikum Subuh (bual bicara pagi).
  3. Assalamualaikum Dhuha (bual bicara pagi).
  4. Waalalikumsalam (bual bicara malam muhasabah diri).
  5. Quran@114 (program tadabbur Al-Quran).
  6. MyQuranTime (program tadabbur Al-Quran.
  7. Cinta Ilmu (program bual bicara agama).
  8. Risalat Al Imam As Syafie (drama bersiri berkisar kepada kehidupan Imam  As-Syafie).
  9. Dakwah Live (program dakwah santai).
  10. 40 Kalam Junjungan (perkongsian kitab Hadis 40).
  11.  Slot Fiqh (Awlawiyat dan Mizan) (berdasarkan gagasan pemikiran Sheikh Yusuf Al-Qardawi).
  12.  30 Minit Bersama Dato’ Ustaz Shamsuri Ahmad (pengajian berkitab Bahrul Mazi).

Hal Ehwal Semasa

  1. Berita AlHijrah (berita perdana harian fokus kepada laporan berkaitan umat Islam dan perkara-perkara yang berkaitan agama Islam).
  2. Analisis (program bual bicara membincangkan isu-isu semasa bersama tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang. Antaranya ialah YB Senator Dato’ Setia  Dr. Hj. Na’im Hj. Mokhtar (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – Agama), YB Datuk Seri Saifuddin Nasution (Menteri KPDN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman (Mufti Pulau Pinang), Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin (Pensyarah Kanan UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady (Penolong Professor  ISTAC-IIUM), Kamal Affandi Hashim (Penganalisis Jenayah) dan ramai lagi.
  3. 60 Minit Bersama (perkongsian berkaitan inisiatif kerajaan. Antaranya ialah YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Na’im Hj. Mokhtar (Menteri Di Jabatan Perdana   Menteri Hal Ehwal Agama), YB Dato Sri Hjh. Nancy Shukri (Menteri Pelancongan), Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Pengerusi Felda), Tan Sri Azam Baki (Ketua  Pesuruhjaya SPRM), YB Dato’ Seri DiRaja Zambry Abd. Kadir (Menteri Luar Negeri), Prof. Dato’ Seri Ir. Zaini Ujang (KSU Kementerian Sumber Manusia), Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin (Pensyarah Kanan UIAM), Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan ramai lagi.
  4. GlobAlHijrah (berita ummah antarabangsa mingguan (bahasa Malaysia & bahasa Arab).
  5. Bicara Fail Syariah (bual bicara perkongsian berkenaan fungsi mahkamah syariah).

Perkongsian dan Motivasi

  1. Pesan.
  2. Matahati MADANI.
  3. Riwayat Akhir Zaman.
  4. Angeline Tanya Abang Jawab.

Dakwah Kontemporari

  1. Hijrah Berselawat.
  2. Gema Haflah.
  3. Carta 114.

Sebagai kesimpulan, peranan yang dimainkan oleh TV AlHijrah adalah amat besar dalam membentuk pemikiran dan mewujudkan masyarakat dan generasi yang lebih berilmu melalui penerbitan kandungan yang kreatif dan sentiasa relevan. Jadi, jangan lupa untuk terus kekal bersama TV AlHijrah, Satukan Ummah Dengan Ilmu.