Kenali punca pencetus migrain

MIGRAIN antara penyebab kepada sakit kepala yang berulang. Kadangkala ia boleh dielakkan dan ada ketika perlu melalui ‘teknik’ tertentu untuk mengelakkannya.

Pun begitu, migrain barangkali boleh berlaku lebih kerap jika adanya faktor pencetus:

1. Makanan:

Alkohol, buah-buahan sitrus, kafein (kopi, teh), makanan yang mengandungi tyramine (keju, yogurt, kacang dan sebagainya)

2. Persekitaran:


Merokok atau bilik yang berasap rokok, cahaya terang seperti skrin yang terang atau cahaya yang berkelipan dari televisyen, bunyi bising dan bau yang kuat contohnya minyak wangi.

3. Psikologi: Kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagainya. Sesetengah serangan sakit kepala tidak berlaku semasa pesakit mengalami tekanan, tetapi berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan yang relaks, sepertimana yang dipanggil ‘migrain hujung minggu’ (weekend migraine).

4. Ubat-ubatan: Rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga.

5. Lain-lain: Haid, pertukaran masa tidur, putus haid

Namun begitu kesan daripada faktor-faktor di atas mungkin tidak sama bagi semua pesakit, contohnya untuk sesetengah pesakit serangan migrain tidak menjadi lebih kerap walaupun mereka mengambil keju dan coklat.

Migrain yang jarang berlaku:

a. Migrain semasa haid (Menstrual migrain)

Migrain yang hanya berlaku sekitar haid, tetapi tidak menyerang pada masa-masa lain.

b. Abdominal migraine

Biasanya berlaku pada kanak-kanak. Serangan adalah dalam bentuk sakit perut selama beberapa jam tanpa sakit kepala.

c. Ocular migraine

Ia menyebabkan kehilangan semua atau sebahagian daripada penglihatan pada sebelah mata, atau kadang-kadang pergerakan mata yang tidak normal.

d. Hemiplegic migraine

Serangan dalam bentuk sakit kepala dan lemah pada satu belah badan. Ia boleh menyebabkan kekeliruan dengan angin ahmar (strok).

e. Basilar-type migraine

Tanda-tandanya termasuk sakit pada bahagian belakang kepala dan aura yang luar biasa contohnya menjadi buta secara sementara, imej berganda, pening yang memusing, dengung, pertuturan yang tidak jelas dan pening kepala.

Diagnosa

Seseorang pesakit diputuskan sebagai menghidap migrain berdasarkan gejala-gejala yang khas seperti di atas.

Rawatan

Rawatan migrain boleh dibahagikan kepada rawatan akut dan rawatan pencegahan. Pesakit adalah dinasihatkan untuk berunding dengan doktor mereka sebelum memulakan rawatan.

a. Rawatan akut:

Tujuan rawatan akut ialah untuk memberikan kelegaan yang segera. Ubat penahan sakit haruslah diambil secepat mungkin apabila tanda-tanda sakit kepala baru bermula. Contoh-contoh ubat penahan sakit ialah paracetamol (Panadol), mefenamic acid(ponstan), ibuprofen, diclofenac(voltaren), naproxen(synflex) dan sebagainya.

b. Rawatan pencegahan

Rawatan pencegahan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain. Ia diberikan apabila sakit kepala menjadi terlalu kuat atau terlalu kerap dan mula mengganggu aktiviti seharian atau pekerjaan pesakit. Ia haruslah diambil setiap hari secara berterusan, walaupun sakit kepala tidak berlaku pada hari tersebut. Rawatan boleh dihentikan selepas tiga atau enam bulan jika sakit kepala adalah terkawal.

Contoh-contoh rawatan pencegahan adalah: pizotifen (sandomigran), flunarizine(sibelium), propranolol, sodium valproic(epilim) dan sebagainya. Pilihan ubat adalah berdasarkan kesesuaian dan kesan-kesan sampingan yang dihadapi oleh setiap pesakit.

c. Rawatan tanpa ubatan

Selain mengambil rawatan ubatan, pesakit juga dinasihatkan mengambil rawatan tanpa ubatan untuk mengurangkan serangan migrain seperti ‘relaxation training’, menangani stres, mengelakkan faktor pencetus seperti cahaya yang terang, setengah makanan/ minuman, stres dan kurang tidur.

Komplikasi

Jarang sekali, pesakit mungkin boleh mendapat angin ahmar yang berkaitan dengan serangan migrain. Sesetengah pesakit pula mungkin mendapat serangan yang sangat teruk dan berpanjangan yang dipanggil ’status migrainosus’ yang mana ubat tahan sakit yang lebih kuat biasanya diperlukan.

Kesimpulan

Serangan migrain yang kerap atau teruk boleh mengganggu kehidupan seharian. Pesakit digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal gejala migrain untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *