KELAINAN DATUK AISHAH DALAM KETENTUAN TAKDIR

KELAINAN DATUK AISHAH DALAM KETENTUAN TAKDIR

Nama tokoh yang menakjubkan ini tidak memerlukan penjelasan tambahan. Sesiapa yang mendengar suara emas itu akan terus jatuh cinta dengannya. Pada hakikatnya, kebanyakan lagunya sentiasa terkini dan masih menarik untuk didengari.

Datuk Aishah telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang daripada segelintir vokalis wanita yang berjaya menyerlah daripada khalayak ramai sejak debutnya. Tidak keterlaluan untuk mendakwa bahawa dia adalah seorang legenda, memandangkan bakatnya dan senarai panjang hadiah yang diperolehnya.

Biarpun ketika ini penyanyi baru dan muda semakin popular, Datuk Aishah, 57, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin itidak berhenti bekerja dan menulis lagu baharu.

Datuk Aishah yang memulakan kerjayanya dalam bidang muzik bersama kumpulan Fan Club New Zealand, baru-baru ini mengeluarkan single KETENTUAN TAKDIR yang diterbitkan oleh Chevy Amry dan ditulis oleh Datuk Habsah Hassan.

“Lagu KETENTUAN TAKDIR ini ada kelainan dan memang itu pun yang saya cari. Ini supaya lagu-lagu  yang  saya  rakam  tak  mudah  diagak  dan  ia  ada  kelainan.  Saya  suka  dengan  sentuhan  dan susunan lagu ini terutama bila lirik lagu ini menceritakan keresahan dalam jiwa dan emosi.

“Apabila dapat baca lirik yang  ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, pada saya  ia memberi makna yang baru dan saya boleh kaitkan dengan apa yang terjadi mengenai lagu itu. Pada saya untuk menyanyi dengan baik, perlu ada kemampuan untuk fahami jalan cerita lagu itu. Apabila sudah dapat lirik saya setuju untuk teruskan. Proses ini berlaku dengan cepat, Azlan Abu Hassan buat susunan dan seterusnya buat rakaman,” katanya

Datuk Aishah, yang sudah 36 tahun menyanyi, berkata dia mahu terus bekerja selagi mampu dan berharap lagu-lagu masa depan akan lebih mencabar untuknya.

“Ia cerpen dalam empat minit. Jadi saya sebagai penyanyi perlu sampaikan dengan baik kepada pendengar supaya mereka dapat menghayati jalan cerita itu. Ia satu cabaran kepada saya juga. Kadang-kadang  lagu  ini  kita  dengar  sedap,  tapi  tak  tahu  ia  cerita  mengenai  apa.  Disebabkan pendengar  tak  dibawa  menghayati  cerita  dalam  lagu  itu.  Kalau  begitu  boleh  dikatakan  sedikit gagal dalam penceritaan,” katanya.

Datuk Aishah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penciptaan video muzik itu dengan menyatakan kesukaran mendapatkan lokasi rakaman yang ideal.

“Apabila tak dapat, jadi  kita  tak  dapat  nak  persembahkan  apa  yang  kita  betul-betul  mahukan. Tapi  itu  pengalaman  pertama  bekerja  dengan pasukan  produksi ini.Jadi  kita  belajar  dari kesilapan.

“Untuk artis yang sudah lama macam saya, kita nak ada kelainan dalam lagu. Tapi kita tak mahu kelainan  itu  terlalu  drastik  sebab  tak  mahu  peminat  sedia  ada  lari.  Jadi  kenacari  satu keseimbangan disitu dan kekalkan ‘signature sound’. Itu perkara yang saya perasan.

“Kalau penyanyi dulu ada ‘sound’ dia yang tersendiri. Jadi bila dengar dalam radio orang akan kenalpasti suara itu dulu. Kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, orang lebih kenal lagu. Itu yang menjadikan indentiti penyanyi.Dalam lagu ini saya mahu tekankan ‘signature sound’ itu. Tapi kalau boleh saya nak ia lebih segar dan relevan untuk muzik sekarang,” katanya.

Apabila Datuk Aishah memutuskan untuk menerima lagu yang ditulisnya bersama Datuk Habsah Hassan sebagai penulis lirik, Chevy Amry terharu.

“Suatu hari Kak Chah (Habsah) menghantar lirik lagu KETENTUAN TAKDIR kepada saya. Tiba-tiba dapat ilham katanya. Saya terus menghasilkan melodi lagu ini dan memperdengarkan kepada Kak Chah.  Alhamdulillah  dia  suka  melodi  itu.  Kemudian  saya  memperdengarkan  kepada  Datuk Aishah, ternyata dia juga suka melodi dan liriknya.

“Lirik  lagu  ini  seakan-akan   menceritakan   mengenai   kisah   hidupnya   sekarang.   Lirik lagu KETENTUAN  TAKDIR sangat  relevan  dengan  dirinya  kerana  liriknya  adalah  berdasarkan  kisah benar  mengenaisuka  duka  hidup Datuk Aishah  selama  bergelar  anak  seni.  Lagu  ini  amat mencabar, moden dan relevan untuk zaman sekarang. Melodi lagu ini amat segar dan ‘cathcy’, sekali dengar sudah boleh melekat di jiwa,” katanya.

Chevy turut mendedahkan bagaimana Datuk Aishah bergelut untuk ke studio rakaman.

“Pada hari rakaman vokal, tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan banjir. Datuk Aishah terpaksa meredah banjir dalam perjalanan dari Ampang ke studio di Puchong yang sepatutnya mengambil masa 40 minit, tetapi akibat banjir, perjalanan mengambil masa lebih dua jam. Rakaman vokal sepatutnya bermula pada jam 8 malam, tetapi Datuk Aishah tiba di studio jam 10 malam dengan basah kuyup.  Namun  semangat  dia  sungguh  kuat  untuk  menyiapkan  rakaman  pada  malam  itu yang selesai pada jam 12 malam,” katanya.

Susunan istimewa lagu ini turut mendapat sentuhan daripada Azlan Abu Hassan, adik kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan yang juga komposer dan penerbit lagu dan album Datuk Aishah sejak 1990.

Lagu KETENTUAN TAKDIR kini boleh dilayari di semua platform digital seperti Spotify, JOOX, Apple Music, DEEZER dan YouTubeMusic manakala muzik video pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.