Ramadan bukan hanya bulan ibadah, tetapi juga masa untuk memperkukuh ukhuwah dan menyebarkan kasih sayang. TV AlHijrah terus komited dengan inisiatif Hijrah Prihatin Bubur Lambuk bagi menyantuni masyarakat menerusi pengagihan juadah berbuka puasa. Program ini diadakan di Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka, dengan matlamat utama menyebarkan kebaikan serta mengeratkan hubungan sesama insan.
Di Lembah Klang, edaran bubur lambuk akan dilakukan di lokasi terpilih seperti Flat Taman Mulia, Cheras (19 Mac), Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), dan Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac). Program ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf, jemaah masjid, pelajar tahfiz, dan petugas barisan hadapan. Keindahan Ramadan akan lebih dirasai dengan semangat gotong-royong dalam menyediakan bubur lambuk.


Keistimewaan program ini lebih terserlah di Pulau Sebang, Melaka, dengan kerjasama KTMB yang akan mengadakan pengagihan bubur lambuk pada 14 Mac di Masjid Aleyah Kuala Ina. Bubur lambuk akan diedarkan kepada penumpang KTM dan masyarakat setempat sebelum pasukan Hijrah Prihatin berbuka puasa bersama jemaah masjid pada sebelah malam.
Muhammad Sazri Abd Sani, Pengurus Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, menegaskan bahawa program ini bukan sekadar edaran bubur lambuk tetapi simbol kasih sayang kepada masyarakat. TV AlHijrah berharap program ini terus menjadi jambatan kebaikan, menzahirkan rasa prihatin, dan menyemarakkan semangat berkongsi sepanjang bulan Ramadan.