KAMPUNG PEOPLE KEMBALI BERAKSI UNTUK MUSIM KETIGA

KAMPUNG PEOPLE KEMBALI BERAKSI UNTUK MUSIM KETIGA

Petaling Jaya, 15 November 2022 – Setelah sekian lama menunggu, akhirnya Kampung People 2 telah tamat, dan persembahan itu akan kembali untuk musim ketiga! Kampung People 3 bakal menemui anda semua menerusi slot Lestary dengan mengekalkan barisan pelakon asal Rashidi Isyak (Razif), Elly Mazlein (Mona), Riena Diana (Laila), dan Kamarul Eqifshah (Imran/Yummy).

Drama komedi santai kekeluargaan ini diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zainuddin dan diterbitkan oleh KL Motion Pictures pastinya akan membuatkan anda semua gelak sakan dengan gelagat lucu Razif sekeluarga dan geng orang kampung. Kampung People 3 yang mengandungi 13 episod ini dibawakan oleh Uphamol dan bakal ditayangkan pada 18 November 2022 pada pukul 9.30 malam dan episod seterusnya diteruskan pada 23 November 2022 setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam di TV3 menerusi slot Lestary.

Setelah Razif sekeluarga dan beberapa orang kampung yang lain ditidurkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, mereka semua telah dikejutkan semula dengan identiti diri yang baharu untuk mengaburi mata geng Cengkih Manis yang masih lagi mengancam keselamatan mereka. Demi keselamatan yang lebih terjamin, mereka semua kini mendiami sebuah perumahan flat di sebuah bandar. 

Untuk menyembunyikan kesilapan Pacerat sendiri, Agen Shukrinah dan Agen 1 terpaksa berbohong kepada Laila yang mengatakan bahawa otak Jaafar terpaksa dipindahkan ke dalam badan Badrul bisu. Namun, Razif dan Laila sekeluarga dapat membongkar agenda kedua-dua agen Pacerat ini dan mula mengatur strategi untuk mengenakan mereka semula.

Berpindah ke kawasan yang baharu ini bukannya sesuatu yang mudah. Razif turut menghadapi masalah dengan penduduk flat itu. Sejak kehilangan Jaafar, Laila mengalami kemurungan yang berpanjangan namun perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencari Jaafar. Dapatkah Razif sekeluarga dan orang kampung menempuh segala cabaran dan ujian yang bakal dihadapi mereka? Adakah geng Cengkih Manis akan muncul dan mengancam keselamatan mereka lagi?

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan Kampung People 3 menerusi slot Lestary bermula pada 18 November 2022 ini pada pukul 9.30 malam dan episod seterusnya pada 23 November 2022 setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam di TV3. Anda juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my 

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!