Jualan Perodua meningkat 7.3 peratus

JUALAN Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meningkat 7.3 peratus kepada 37,400 kenderaan pada dua bulan pertama tahun 2019 berbanding 34,800 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha syarikat untuk menambah baik masa penghantaran kepada pelanggan. Dalam kenyataan Perodua baru-baru ini, Zahari berkata, bagi dua bulan pertama tahun ini, Perodua menjual kira-kira 15,000 unit Myvi; 10,100 unit Axia; 5,900 unit Bezza; 3,600 unit Aruz dan 2,700 unit Alza. Manakala dari segi pengeluaran, 36,500 unit kenderaan dikeluarkan – hampir 6.2 peratus lebih banyak daripada 34,375 dikeluarkan bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sementara itu, berdasarkan angka daripada Persatuan Automotif Malaysia, kami menjangkakan perkongsian dalam pasaran bagi tahun semasa akan meningkat sebanyak 41 peratus,” katanya.

Zahari menambah, Perodua Aruz, model SUV tujuh tempat duduk terbaharu syarikat pembuat kenderaan itu juga terus menerima tempahan menggalakkan dengan mencatatkan lebih 13,000 unit tempahan sejak awal Januari.

“Kami telah membuat penyesuaian bagi pengeluaran untuk mengurangkan masa menunggu bagi Aruz,” katanya.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian X dan AV dengan model AV menyumbang 85 peratus tempahan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *