Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama bagi jelajah konsert terbaharu Jessica Jung bertajuk Reflections, menandakan kepulangan istimewa ikon K-pop itu ke negara ini dengan persembahan audio dan visual yang memulakan tahun 2026 dengan penuh makna. Penganjur HUISHIYULE turut mengumumkan bahawa konsert Jessica Concert Tour 2026 Reflections in Malaysia akan menampilkan reka bentuk pentas berbentuk T, yang membolehkan Jessica berinteraksi lebih dekat dengan para peminatnya, Golden Stars, sekali gus menawarkan pengalaman konsert yang lebih intim dan mengujakan.
Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 11 Januari 2026 (Ahad) jam 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting. Tiket akan mula dijual pada Khamis, 20 November 2025 bermula jam 3 petang melalui www.fantopia.io dan rwgenting.com dengan harga RM988 (VIP), RM788 (PS1), RM588 (PS2), RM488 (PS3) dan RM288 (PS4). Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan sebanyak RM4.

Sebagai destinasi pembukaan jelajah serta lokasi istimewa yang menampilkan pentas berbentuk T, konsert ini dijangka mendapat sambutan luar biasa. Para peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal untuk memastikan peluang menyaksikan persembahan pembukaan jelajah global Jessica yang dijangka memukau.
Bagi memudahkan perjalanan penonton, penganjur menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik eksklusif bagi pemegang tiket konsert antara KL Sentral dan SkyAvenue Bus Terminal. Harga tiket bas adalah RM50 untuk perjalanan sehala dan RM80 untuk pergi balik. Bas dari KL Sentral akan berlepas pada jam 12 tengah hari dan 2 petang, manakala perjalanan pulang dari SkyAvenue akan bermula pada jam 10.30 malam dan 11.30 malam selepas konsert. Pembelian tiket bas boleh dibuat melalui www.fantopia.io.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti penganjur HUISHIYULE di Instagram menerusi akaun @ht.entertainmentcompany.