HONDA Malaysia mengumumkan bahawa Honda Jazz Mugen telahpun secara rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia setelah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu.
Selain hatchback segmen-B tersebut, Honda turut melancarkan model istimewa SUV MPV tujuh tempat duduk – Honda BR-V Special Edition yang hadir dengan rupa lebih sporty. Dengan pengenalan dua model edisi terhad ini, Honda Malaysia yakin dapat menarik lebih ramai peminat dan penggemar jenama pengeluar kereta tersebut. Lebih mengujakan bakal pemilik, kedua-dua model ini dibina terhad untuk 300 unit sahaja.
Jazz Mugen
Jazz kini dipasang dengan bodykit Mugen untuk penampilan lebih sporty. Bahagian luarannya diserlahkan dengan bampar hadapan Aero, lampu kabus LED, gril hadapan sporty dan kemasan pada lampu belakang. Tidak ketinggalan skirting sisi dan spoiler belakang juga turut ditawarkan untuk kelihatan lebih rugged.
Kit badan Mugen adalah ciri tambahan bersama-sama dengan bahagian di bawah spoiler, belakang di bawah spoiler dan tailgate spoiler untuk menaikkan pandangan kasar daripada Jazz. Honda membuat tawaran bodykit Mugen ini kepada pelanggan selepas mendapat maklum balas daripada pasaran yang mahukan sebuah Jazz yang tampil lebih sporty dan ranggi.
Kekal No 1 dalam kelasnya
Sejak diperkenalkan pada sekitar tahun 2003, lebih 90,000 unit Jazz telah berjaya dijual di pasaran tempatan. Pada Disember 2018, jualan Jazz mencatat lebih 13,000 unit atau 13 peratus daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia. Prestasi itu membolehkan Jazz mengekalkan kedudukan No 1 dalam segmennya dengan menguasai 86 peratus perkongsian pasaran dari Januari hingga Disember 2018.
Ciri-ciri Mugen yang baharu ini berdasarkan maklum balas pasaran untuk menjadikan Jazz menonjol lebih banyak dengan siluet sporty, dan pada masa sama amat praktikal. Jazz dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC yang dipadankan bersama kotak gear CVT yang dibangunkan di bawah teknologi Earth Dreams Honda. Ia merupakan satu-satunya hatchback yang dilengkapi empat mode/konfigurasi tempat duduk ULTRA demi memenuhi apa jua keperluan pengguna.
Jentera itu juga dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, Hill Start Assist (HSA), Vehicle Stability Assist (VSA), ABS dan ISOFIX. Manakala peralatan standard termasuk unit kepala skrin sentuh 6.8 inci, pelapis kulit, enam beg udara dan pendingin hawa auto panel sentuh. Jazz Mugen ditawarkan pada harga RM88,600 (tanpa insurans) untuk warna Hitam Metallic moden dan RM88,720 (tanpa insurans) untuk warna White Orchid Pearl.
Br-V Edisi Khas
Bagi mereka yang inginkan lebih ruang dan juga kapasiti penumpang yang lebih ramai, Honda Malaysia juga menawarkan sebuah crossover 7 tempat duduk, Honda BR-V Special Edition 2019 yang didatangkan dengan beberapa tambahan menarik. Model ini juga merupakan model edisi terhad kepada 300 unit sahaja seperti Jazz Mugen.
BR-V Edisi Khas kini dilengkapi dengan aksesori spoiler belakang, Running Board dan pemijak sisi untuk kelihatan lebih sporty. Untuk ruang kabin pula, sistem infotainmen Honda BR-V Special Edition ini juga dilengkapi dengan skrin paparan bersaiz 6.8 inci dengan ciri sambungan kepada telefon pintar. Sejak dilancarkan pada Januari 2017, lebih 29,000 unit BR-V telah dijual.
Pada tahun 2018, ia mencatat jualan hampir 11,300 unit atau 11 peratus daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia. Model itu juga merekodkan perkongsian pasaran sebanyak 47 peratus pada tahun 2018. BR-V dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Jentera itu terkenal dengan konfigurasi tempat duduk yang versatil.
Terdapat dua warna menarik bagi model edisi terhad Honda BR-V Special Edition 2019 iaitu Passion Red Pearl pada harga RM90,700 dan White Orchid Pearl pada harga RM91,000 (harga atas jalan tanpa insurans). Honda Malaysia juga memperkenalkan pilihan warna merah mutiara pada BR-V, sekali gus menggantikan warna merah (Dark Ruby Red Pearl) sebelum ini. Untuk maklumat lanjut, layari www.honda.com.my atau kunjungi pusat pameran rasmi mereka di seluruh negara.