Shaffiq Erwin, yang sebelum ini dikenali sebagai seorang guru vokal, turut melebarkan bakatnya sebagai penyanyi sejak tahun 2012. Terbaharu, Shaffiq atau lebih mesra disapa Apit kembali dengan single terbarunya berjudul “Janjir”. Selepas beberapa ketika menyepi daripada dunia nyanyian, beliau kembali mencabar diri melalui program realiti terbitan TV3, Famili Duo Season 1 pada tahun 2020 bersama penyanyi terkenal Ara Johari. Penyertaan mereka secara “one-off” membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara episod Saudara, sekaligus mengembalikan keyakinan Shaffiq dalam perjalanan seninya.
Semangat kemenangan itu diteruskan apabila dalam Famili Duo Season 2 yang bersiaran pada tahun 2023, gandingan Shaffiq dan Ara Johari sekali lagi menyerlah dengan kejayaan mara ke peringkat separuh akhir. Tahun 2025 pula menjadi lembaran baharu buat Shaffiq apabila beliau tampil dengan “Janjir”, sebuah karya yang memperlihatkan keberaniannya mencuba genre Rockdut, gabungan unik antara Rock dan Dangdut yang memberi identiti segar kepada muziknya. Lirik “Janjir” turut membawa sentuhan emosi yang dekat dengan hati pendengar.
“Janjir” bukan sekadar sebuah lagu baharu, tetapi hasil ciptaan dan terbitan bersama Rudy Nastia, Aizad Khan serta Shaffiq Erwin sendiri di bawah naungan Sevoce Studio dan edaran Universal Music. Lagu ini mengisahkan sepasang kekasih yang pernah berjanji setia, namun janji itu dikhianati apabila salah seorang memilih untuk pergi dan hanya kembali ketika kesusahan melanda. Naratif ini menjadikan “Janjir” sebagai sebuah karya yang penuh penghayatan dan mesej mendalam.

Muzik video “Janjir” tampil dengan visual meriah berlatarkan tema warna merah jambu dan putih, menambahkan lagi tarikan estetik kepada keseluruhan produksi. Kolaborasi bersama Kunafa Aiwah, Anas Lips Serum dan Heetam Puteh turut memeriahkan lagi penghasilan muzik video yang disunting oleh Shiha Zikir Empire. Setiap elemen visual disusun rapi bagi menguatkan lagi penceritaan lagu ini.
“Janjir” boleh didengari di YouTube dan semua platform digital mulai 12 November 2025. Shaffiq berharap agar para pendengar dan rakan media dapat terus memberikan sokongan kepada karya terbaharunya ini, yang menjadi simbol perjalanan baharu dalam kerjaya seninya. Dengan gabungan genre Rockdut dan penceritaan yang jujur, Shaffiq percaya “Janjir” mampu meninggalkan kesan mendalam buat sesiapa sahaja yang mendengarnya.